Brunei catat peningkatan pendaftaran syarikat

Oleh Azlan Othman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Dis – Negara Brunei Darussalam mencatatkan peningkatan 12 peratus dalam jumlah pendaftaran syarikat-syarikat dalam tempoh suku ketiga tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, susulan reformasi dalam infrastruktur perniagaan dan pemulihan dalam iklim perniagaan negara.

Peningkatan itu didedahkan dalam kenyataan terbaharu dasar Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) yang dikeluarkan pada Jumaat lalu. Menurut kenyataan itu, sektor pelancongan di bawah sektor perkhidmatan, juga mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan, dengan peningkatan 25.7 peratus dalam suku kedua 2017 berbanding tempoh sama 2016.

AMBD menambah bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tumbuh 0.7 peratus dari tahun-ketahun dalam suku kedua 2017, pulih daripada pengecutan 1.7 peratus tahun-ketahun dalam suku pertama 2017.

Sektor minyak dan gas pula berkembang 1.1 peratus tahun-ketahun, dengan peningkatan dalam pengilangan gas asli cecair dan metanol 11.4 peratus.

Dalam pada itu, sektor bukan minyak dan gas juga meningkat 0.1 peratus tahun-ketahun dalam suku kedua 2017, kebanyakannya kerana pertumbuhan dalam pengilangan produk makanan dan minuman sebanyak 13.5 peratus. Dalam keadaan semasa, sektor kewangan mencatatkan 6.9 peratus dalam KDNK bagi suku kedua 2017.

Usaha mempelbagaikan ekonomi termasuklah menarik pelaburan asing (FDI), peluasan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS), kemajuan kluster ekonomi dan pemulihan situasi perniagaan. Dalam 2017, negara menerima komitmen pelaburan signifikan daripada Syarikat Hengyi Industries berjumlah AS$3.445 bilion bagi fasa pertama pembangunan kilang penapisan dan aromatik di Pulau Muara Besar.

Manakala industri hiliran petrokimia dan gas dan minyak dijangka berkembang luas dengan bermulanya projek fasa kedua di Pulau Muara Besar. Beberapa projek FDI juga sudah direalisasikan melalui pembukaan kilang makanan seperti Western Foods and Packaging, Saahtain Asia dan juga sektor perkhidmatan melalui Muara Port Company.

Dalam pada itu, Negara Brunei Darussalam juga semakin kukuh di persada antarabangsa sebagai negara paling bertambah baik dalam laporan Doing Business 2018 yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, dengan ranking meningkat kepada 56 daripada kedudukan ke-72.