Brunei catat satu kes baharu

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Negara Brunei Darussalam hari ini mengesahkan satu lagi kes import jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 149 kes.

Kes 149 ialah seorang wanita berumur 37 tahun yang tiba ke Negara Brunei Darussalam dari India melalui Kuala Lumpur pada 11 November lalu dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei BI874.

Beliau tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan dan pada masa ini, berada di Pusat Pengasingan Kebangsaan bagi pemantauan dan rawatan.

Pengesahan mengenai kes jangkitan baharu itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Pengesanan kontak setakat ini telah mengenal pasti empat kontak terdekat yang mana ujian awal menunjukkan tiga daripadanya adalah negatif, manakala seorang lagi masih menunggu keputusan ujian, jelas Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham.

Dengan pengesanan kes terbaharu ini, lapan kes import telah disahkan sejak kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan pada 6 Mei 2020 yang mana dengan ini, Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan 201 hari tanpa kes jangkitan tempatan COVID-19.

Dalam pada itu, daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, sebanyak 145 kes telah disahkan sembuh.

“Seramai 570 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan yang telah ditetapkan oleh kerajaan iaitu mereka yang baru tiba ke negara ini setelah melakukan perjalanan dari luar negara. Setakat ini, seramai 8,270 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori di kemudahan-kemudahan berkenaan,” tambahnya.

Dalam tempoh 24 jam, sebanyak 151 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 75,632 ujian.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika mengumumkan kes baharu pada sidang media berkenaan. – Gambar oleh Sim Y.H.