Brunei catat satu lagi kes import

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Negara Brunei Darussalam hari ini mengesahkan satu lagi kes import jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 148 orang.

Pengesahan kes dibuat oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku pemangku Menteri Kesihatan.

“Kes 148 ialah seorang lelaki berumur 40 tahun yang tiba ke Negara Brunei Darussalam dari Kuala Lumpur pada 16 Oktober 2020 melalui Penerbangan Diraja Brunei BI874 (tempat duduk 27A). Beliau baru mengadu mengalami tanda-tanda jangkitan (batuk) pada hari ini,” jelas Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan.

“Pada masa ini, beliau berada di Pusat Pengasingan Kebangsaan bagi pemantauan dan rawatan. Pengesanan kontak setakat ini telah mengenal pasti 18 orang kontak terdekat yang mana ujian awal menunjukkan 10 daripada mereka negatif bagi COVID-19. Manakala, selebihnya masih lagi menunggu keputusan ujian,” jelasnya lagi.

Menurutnya, dengan pengesanan kes terbaharu itu, tujuh kes import telah disahkan sejak kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan pada 6 Mei 2020, dan pada ketika ini, Brunei Darussalam telah mencatatkan 169 hari tanpa kes jangkitan tempatan COVID-19.

Selain itu, seramai 295 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan yang telah ditetapkan oleh kerajaan iaitu mereka yang baru tiba ke negara ini setelah melakukan perjalanan dari luar negara, dan setakat ini, seramai 7,248 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori di kemudahan-kemudahan berkenaan.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 284 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 65,947 ujian, tambahnya.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan berucap semasa sidang media berkenaan, kelmarin.