Brunei catat sifar jangkitan baharu COVID-19

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Setakat 12 tengah hari ini, tiada kes baharu jangkitan COVID-19 dicatatkan di Negara Brunei Darussalam menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 145 orang dengan satu kes yang masih aktif.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan hariannya turut memaklumkan bahawa seramai 385 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori dengan seramai 5,635 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 169 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 55,256 ujian.

Kementerian Kesihatan juga memaklumkan orang ramai yang ingin mendapatkan ujian saringan SARS-CoV-2 (ujian swab) terutamanya mereka yang ingin membuat perjalanan keluar negara bahawa mereka hendaklah menjalankan ujian sekurang-kurangnya tiga hingga lima hari sebelum tarikh penerbangan, tertakluk kepada syarat-syarat negara yang akan dituju.

Hasil bagi ujian berkenaan akan mengambil masa dan orang ramai hendaklah bersabar untuk mendapatkan keputusan mereka.

Orang ramai yang ingin mendapatkan ujian tersebut bagi perjalanan keluar negara boleh mendapatkannya di Pusat Kesihatan Berakas yang beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 4 petang bagi Isnin hingga Khamis dan Sabtu, manakala itu, setiap Jumaat, Ahad dan hari-hari kelepasan awam dibuka dari 2 petang hingga 5:30 petang.

Ujian juga boleh didapati di Kompleks Sukan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang beroperasi setiap hari kecuali hari kelepasan awam, dari pukul 7 pagi hingga 10 malam.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.