Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Negara Brunei Darussalam hari ini terus mencatatkan sifar kes baharu bagi jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 141 orang.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menekankan perkara itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Sementara itu, tidak ada kes yang telah disahkan sembuh daripada COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah sembuh kekal seramai 134 orang.
Tambah Yang Berhormat Dato, jumlah kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan pada ketika ini ialah seramai enam kes. Daripada jumlah tersebut, dua daripadanya masih dalam keadaan kritikal.
“Walau bagaimanapun, hanya seorang sahaja yang masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) dan mesin pernafasan, manakala seorang lagi kini hanya memerlukan bantuan mesin pernafasan sahaja. Selebihnya adalah dalam keadaan yang baik,” jelas Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham.
Menurutnya lagi, pada ketika ini, seramai 108 orang sedang menjalani kuarantin menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 manakala jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin ialah seramai 2,575 orang.
“Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 169 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 16,037 ujian,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.




























