Brunei cecah 10,000 kes jangkitan COVID-19

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKTOBER – Negara Brunei Darussalam hari ini telah mencatatkan jumlah kes harian tertinggi bagi jangkitan COVID-19 iaitu sebanyak 423 kes, sejak gelombang kedua pandemik bermula Ogos lalu.

Dengan rekod tersebut, keseluruhan kes jangkitan koronavirus kini berjumlah 10,251 orang, kongsi Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Manakala itu, terdapat 67 tambahan kes baharu kepada 20 kluster aktif yang sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya dengan empat kluster baharu telah dikesan yang melibatkan 162 kes.

“Kesemua kluster baharu itu adalah kluster rumah kediaman di mana dua daripadanya iaitu Kluster Swee Sdn Bhd dan Kluster Nurisman Sdn Bhd yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan,” jelasnya yang kemudiannya menambah jumlah kluster yang aktif sebanyak 170 kluster.

Dalam pada itu, katanya, terdapat 194 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham semasa sidang media, kelmarin.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa sidang media tersebut.

“Sebanyak 184 kes juga telah disahkan sembuh hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di negara ini kepada 7,682 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 2,501 kes,” kata Yang Berhormat Dato.

Dalam kalangan kes yang sedang dalam rawatan sekarang, menurutnya, enam kes dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif, di mana kesemuanya memerlukan bantuan mesin pernafasan dengan dua daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO).

“Sementara itu, 29 kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi,” tambah beliau lagi.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 6,203 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 431,203 ujian.

Sehubungan itu, mengambil kira jumlah kehadiran orang ramai ke Pusat Swab Kompleks Sukan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha telah berkurangan selepas jam 8 malam khususnya setelah Operasi Pulih bermula pada 4 Oktober 2021, Kementerian Kesihatan telah meneliti semula waktu operasi bagi Pusat Swab tersebut yang diubah kepada jam 8 pagi sehingga 8 malam setiap hari bermula esok, 16 Oktober 2021.