Brunei, China perkukuh kerjasama perundangan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Forum Antarabangsa Maritim Silk Road (Quanzhou) mengenai Kerjasama Badan Kehakiman telah dibuka rasmi secara maya kelmarin, yang turut dihadiri oleh Ketua Hakim Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam, persidangan dua hari tersebut merupakan kelolaan Mahkamah Besar Republik Rakyat China (SPC) yang berlangsung pada 26 dan 27 Oktober. 

Badan-badan kehakiman berkenaan yang dalam lingkungan jalur maritim silk road telah diundang untuk berbincang dengan lebih mendalam secara maya mengenai isu-isu penyelidikan dan kaedah undang-undang antarabangsa serta undang-undang perairan.

Melalui persidangan tersebut, SPC berhasrat untuk mendalami kerjasama antarabangsa dengan negara-negara di jalur maritim silk road dalam bidang perundangan dan ingin mengembangkan landasan untuk saling belajar. 

Pada masa yang sama SPC juga berhasrat untuk membina permuafakatan Belt and Road bagi kerjasama undang-undang dengan melihat secara berterusan memberi jaminan kehakiman bagi membina masyarakat maritim untuk masa depan bersama.

Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong semasa menghadiri forum yang berlangsung secara maya baru-baru ini.

Dalam kata alu-aluannya pada majlis pembukaan forum, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong telah menggariskan mengenai ulang tahun ke-30 tahun penubuhan hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China. 

Yang Amat Arif berkata bahawa pada 30 September 1991, kedua-dua negara telah memulakan satu bab baharu dalam persahabatan dua hala dan telah mencapai kemajuan luar biasa bersama, di mana pada 2020, hasil hubungan perdagangan dua hala tumbuh 72.5 peratus dengan Negara Brunei Darussalam dan China mengaut AS$1.91 bilion hasil perdagangan dua hala.

Yang Amat Arif telah menekankan bahawa memupuk sinergi antara inisiatif Belt and Road serta negara-negara Belt and Road penting untuk memudahkan perdagangan dan pelaburan dan untuk menyokong perniagaan-perniagaan, ini termasuklah bagi memastikan proses berkesan untuk menyelesaikan pertikaian.  Di samping itu, beliau juga bercakap tentang kepentingan kerjasama perundangan dan badan kehakiman dalam kalangan negara-negara di jalur maritim silk road dan bagaimana perlunya untuk menyokong momentum kerjasama perdagangan serantau dan pertumbuhan ekonomi.

Beliau memaklumi keperluan memberi khidmat kehakiman yang berkesan dan jaminan untuk masa depan bersama, serta manfaat dua hala inisiatif Belt and Road dan negara-negara di lingkungannya. 

Dalam pada itu, beliau menggariskan komitmen Negara Brunei Darussalam untuk mengukuhkan kerjasama badan kehakiman di dalam rangka kerja inisiatif Belt and Road, serta menegaskan semula komitmen negara untuk mengukuhkan kerjasama badan kehakiman dengan China.  Seterusnya, Yang Amat Arif menyatakan harapannya untuk memudah cara lebih banyak pertukaran kehakiman dengan SPC dan bahawa kerjasama badan kehakiman akan muncul sebagai arena tumpuan yang diperbaharui bagi kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan China, dalam mendukung perkembangan dan pertumbuhan berterusan bagi kedua-dua negara.

Turut menghadiri majlis pembukaan berkenaan ialah Pesuruhjaya Kehakiman dan Ketua Pendaftar Mahkamah Besar, Yang Arif Haji Abdullah Soefri bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin bersama hakim-hakim dan pegawai-pegawai kehakiman.