Brunei Classic kembali

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jan – Seramai 438 pelumba akan bersaing di dalam acara Lumba Basikal Brunei Classic 2017 pada Ahad ini, 8 Januari 2017, yang merupakan kejohanan yang diberikan nafas baru sejak kali terakhir ia diadakan pada era 80-an dan terkenal dengan nama Perlumbaan Basikal KB-BSB suatu ketika dahulu.

Perkara itu antara yang ditegaskan oleh Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Zafri bin Mohamed ketika mempengerusikan sidang media Lumba Basikal Brunei Classic 2017 yang berlangsung di Hotel Parkview, Jerudong di sini.

Dalam penerangannya di sidang media hari ini, perlumbaan kali ini dihidupkan semula ekoran sambutan menggalakkan daripada para pelumba tempatan dan antarabangsa bagi penganjuran kejohanan di negara ini dan ia terbukti apabila kira-kira 122 orang pelumba yang didaftarkan adalah pelumba antarabangsa.

“Daripada jumlah itu, salah seorang daripada pelumba yang bakal tampil di perlumbaan kali ini adalah pemenang pingat perak Sukan Komanwel tahun 1998 dari Malaysia yang akan menyertai seramai 99 pelumba Malaysia yang lain, selain jumlah selebihnya pula datang dari negara seperti India, Australia, Wales, Hong Kong dan Filipina,” ujarnya.

Setiausaha Agung Persatuan Berbasikal Brunei Darussalam (BDCF), Awang Omar Ali bin Haji Ibrahim memberikan penerangan mengenai teknikal perlumbaan yang antaranya mendedahkan mengenai kategori perlumbaan yang dibahagikan kepada lima bahagian antaranya Elite, Novice, Masters, Veteran dan Wanita.

Sidang media yang dihadiri oleh Presiden BDCF, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan dan Setiausaha Agung BDCF bagi mengumumkan acara Lumba Basikal Brunei Classic 2017.
Sidang media yang dihadiri oleh Presiden BDCF, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan dan Setiausaha Agung BDCF bagi mengumumkan acara Lumba Basikal Brunei Classic 2017.

“Bagi Kategori Elite, Novice dan Masters, perlumbaan akan melibatkan laluan sejauh 161 kilometer yang akan bermula di Jalan Maulana di Kuala Belait menuju ke Daerah Tutong, kemudian memasuki Jalan Tutong sebelum membelok ke Lebuhraya Muara-Tutong dan akan berakhir di hadapan Bangunan Perbadanan TAIB di ibu negara,” ujarnya.

Sementara itu, pelumba bagi kategori Veteran dan Wanita pula sejauh 107 kilometer, akan bermula di tempat yang sama namun tidak akan membelok ke Lebuhraya Muara-Tutong, sebaliknya akan terus ke Bandar Seri Begawan.

“Perlumbaan bagi Kategori Elite, Novice dan Masters pula akan dibahagikan kepada dua bahagian perlumbaan iaitu bahagian perseorangan dan bahagian berkumpulan. Pemilihan kategori akan dibuat berdasarkan usia para pelumba,” tegasnya lagi di sidang media hari ini.

Turut bercakap di dalam sidang media itu adalah Presiden BDCF, Mat Yassin bin Haji Abdullah yang mengucapkan selamat bertanding kepada semua peserta di samping meminta kerjasama daripada semua pihak termasuk pihak Polis Diraja Brunei, Kementerian  Kesihatan dan kepada Jabatan Belia dan Sukan serta Tum2Cycle Enterprise dalam menjayakan acara itu nanti.