Brunei Classic kembalikan kegemilangan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan – Brunei Classic 2017 merupakan ilham Persekutuan Berbasikal Brunei Darussalam untuk menghidupkan semula kegemilangan sukan berbasikal yang suatu masa dahulu mewarnai arena sukan di negara ini dan mengekalkan laluan yang sama meskipun beberapa laluan baru terpaksa dilalui ekoran perubahan lebuh raya yang kini terbina.

Jalan yang digunakan dalam bahagian ‘Challenge’ adalah jalan yang asal dengan jarak yang sama dan ia merupakan simbolik yang sangat menggalakkan sehingga ada peserta yang pernah menyertai kejohanan yang sama pada suatu masa dahulu menunjukkan ia sangat memberikan kesan kepada mereka.

Perkara itu ditegaskan oleh Jurulatih Berbasikal Brunei Darussalam, Awang Yafiz Jamaludin ketika ditemui selepas selesainya Brunei Classic 2017 di Kompleks Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara hari ini.

Menurutnya, langkah ini merupakan inisiatif persekutuan untuk menghidupkan sukan berbasikal di negara ini dan dengan sokongan padu Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan usaha sama Tum2Cycles selaku pengurus acara tersebut.

Awang Yafiz Jamaludin (3 kanan) ketika ditemui bersama kumpulan sokongan Brunei Classic 2017 dari negara Malaysia.
Awang Yafiz Jamaludin (3 kanan) ketika ditemui bersama kumpulan sokongan Brunei Classic 2017 dari negara Malaysia.

“Pihak pengurusan acara akan membuat ‘post-mortem’ dan soal selidik mengenai kelemahan dan usaha pembaikan acara ini dan sebagai suatu langkah serta komitmen menjadikan acara ini sebagai kejohanan tahunan di negara ini,” ujarnya.

Pihak berkenaan katanya akan mengekalkan jumlah hadiah $15,000 ini dan akan menjadi hadiah terbesar bagi acara terbuka di negara ini selain akan keluar mengorak laluan baru bagi Brunei Classic 2018.

Beliau menyatakan harapan untuk melihat acara ini akan lebih lancar pada penganjuran akan datang, serta mahu melihat lebih banyak pihak yang terlibat sama menjayakan acara yang mempunyai potensi ini di masa akan datang.