Brunei dalam fasa persiapan menuju endemik

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Satu Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID-19 akan dilaksanakan di Negara Brunei Darussalam dalam masa terdekat sebagai usaha untuk membawa negara keluar daripada keadaan pandemik kepada endemik.

Rangka kerja tersebut meliputi tiga fasa iaitu Fasa Persiapan, Fasa Peralihan dan Fasa Endemik di mana negara pada masa ini sedang berada dalam Fasa Persiapan iaitu dengan melaksanakan langkah-langkah kawalan pergerakan dan pelaksanaan Operasi Pulih serta mempercepatkan liputan vaksinasi.

Perkara tersebut disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah (gambar) semasa sidang media di Kementerian Kesihatan petang tadi.

Fasa Peralihan akan melibatkan bermulanya pengurangan langkah-langkah pengawalan secara berperingkat dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu termasuklah pembukaan masjid, pejabat, ekonomi dan persekolahan.

“Fasa Peralihan akan dilaksanakan setelah liputan program vaksinasi kebangsaan mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus dari jumlah penduduk negara ini yang melengkapkan dua dos, yang dijangka akan dicapai pada penghujung bulan November 2021,” jelas beliau.

Sementara itu, Yang Berhormat Dato menerangkan lanjut bahawa matlamat rangka kerja ini adalah sebagai peralihan yang selamat ke arah pemulihan penuh ke fasa endemik, yang merupakan tunggak perubahan bagi membolehkan negara ini untuk terus pulih dan keluar daripada situasi pandemik ini, dengan harapan gangguan minimal kepada aktiviti harian masyarakat, sepertimana yang telah negara ini hadapi sebelum ini dengan penyakit-penyakit endemik yang lain seperti H1N1. 

Manakala Fasa Endemik adalah keadaan kesihatan awam yang stabil, yang mana pusat-pusat penjaga-an kesihatan mempunyai kapasiti untuk mengawal kes-kes jangkitan
dan keterukan pesakit terurus, dan pemulihan ekonomi yang berdaya tahan.

Ke arah itu, jelas Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Jawatankuasa Pandu COVID-19 akan sentiasa memantau, mengkaji dan menilai pelaksanaan dan keberkesanan rangka kerja ini melalui strategi-strategi yang ditetapkan dari semasa ke semasa, dan ini adalah termasuk juga pelaksanaan Operasi Pulih sebagai instrumen pemulihan negara ini. 

Penglibatan secara pendekatan senegara yang bersepadu daripada agensi-agensi kerajaan dan swasta, badan-badan bukan kerajaan, pihak-pihak berkepentingan termasuk sukarelawan dan orang awam dalam melaksanakan rangka kerja tersebut adalah demi keselamatan, kesejahteraan dan keamanan negara dan sekali gus memulihkan ekonomi yang telah terjejas disebabkan pandemik. 

“Walau bagaimanapun, melalui perancangan yang teratur seperti pelaksanaan fasa-fasa di bawah pelan pemulihan kebangsaan dan juga kerjasama daripada setiap lapisan masyarakat, kita akan dapat sama-sama menyesuaikan diri akan norma baharu dengan belajar hidup dengan virus ini semasa pasca pandemik COVID-19 nanti,” tambah Yang Berhormat Dato.

Sebelum mengakhiri ucapannya, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua turut menyeru agar seluruh penduduk dan rakyat di negara ini bersama-sama memohon kepada Allah SWT supaya diringankan beban negara dalam menghadapi wabak COVID-19 dan seterusnya berharap negara senantiasa dilimpahkan rahmat dan kesejahteraan.