Sunday, April 2, 2023
22.4 C
Brunei

-

Brunei dan Muara juara keseluruhan pertandingan silat

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Pasukan Daerah Brunei dan Muara muncul sebagai juara keseluruhan Kejohanan Silat bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-75 di Dewan Serba guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.

Pasukan tersebut berjaya meraih 11 pingat emas, dua pingat perak dan tujuh gangsa di hadapan pasukan di tempat kedua iaitu Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) yang memungut empat emas, lapan perak dan tujuh gangsa. Manakala Pasukan Daerah Belait berada di tempat ketiga dengan lima emas, enam perak dan enam gangsa.

Hadir bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Wadood Bolkiah. Empat acara peringkat akhir dipertandingkan semasa acara penutup termasuk Kategori Cekak Asli Lelaki Dewasa, yang dimenangi oleh Muhammad Zulkarnain bin Haji Abdul Rahim dari Daerah Temburong dengan meraih mata 5-0 menentang Muhammad Nazim bin Matzain dari Daerah Tutong.

Sementara itu, peserta dari Daerah Brunei dan Muara, Mohammad Hasbul Hadi @ Hamizan bin Sisah berjaya meraih pingat emas menerusi Kategori Kuntau Lelaki Dewasa selepas mencatat kemenangan 3-2 di atas Awang Husrin bin Bujeh daripada MS ABDB.

Kedua-dua pemenang dalam kategori Cekak Asli dan Kuntau menerima Piala Perisai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Dalam pertemuan akhir, Mohd Izzammuddin bin Mohd Taha mewakili Daerah Tutong berjaya meraih emas dalam acara Kelas A (40-50Kg) selepas menang 3-0 ke atas Mohd Aysa’ari Amni bin Mohd Ariff dari Daerah Brunei dan Muara sementara Awangku Mohd Hadi bin Pengiran Abdul Rahman dari Daerah Belait mengutip pingat emas dalam acara Kelas E (65-70kg) dengan keputusan 3-0 ke atas Abdul Rasyid bin Jainuddin dari Daerah Tutong.

Acara penutup turut menyaksikan Mohd Ali Rashid bin Haji Mohd Alipah menerima anugerah jurulatih terbaik sementara Haji Abdul Rahim bin Karim dianugerahkan sebagai juri terbaik.

YAM Pengiran Anak Haji Abdul Wadood Bolkiah menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan.
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Hayashi bakal lawat China di tengah-tengah ketegangan

TOKYO, 31 MAC - Menteri Luar Jepun, Yoshimasa Hayashi hari ini berkata beliau akan mengadakan lawatan ke China hujung minggu ini untuk berbincang dengan...
- Advertisment -