Oleh Lyna Mohamad
Gambar oleh Hardy AJ
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Pasukan krew sebuah syarikat produksi Malaysia, Cineroma Sdn Bhd memilih Negara Brunei Darussalam bagi rancangan travelog mereka bertemakan ‘Kembara Damai di Brunei Darussalam’ baru-baru ini.
Rancangan dihoskan oleh bekas pelajar program realiti Akademi Fantasia, Maulana dari musim ke-8 yang juga Duta Damai bagi Palestine memaparkan Negara Brunei Darussalam sebagai negara yang sederhana namun menarik dan sebuah destinasi pelancongan unik yang mesra pelancong serta aman damai.
Menurut hos dan krew rancangan itu, mereka mendapat layanan baik daripada penduduk negara ini manakala kerjasama daripada penaja yang menyertai program ini pula sangat istimewa terutamanya daripada pembantu mereka di sini, Dayang Sal Halim Jamal.

‘Kembara Damai’ yang bersiaran selama 13 episod bagi rancangan travelog Islam, menumpukan kegiatan Islam seperti masjid dan makanan halal yang akan disiarkan oleh RTM. Ia bukan sahaja mengadakan penggambaran di lokasi majoriti Islam seperti Brunei, malah di lokasi seperti Manila, Bangkok dan Siem Reap.
Rancangan yang dijadualkan disiarkan pada penghujung 2017 itu mendapat kerjasama daripada pemandu pelancong berpengalaman dari negara-negara yang dipilih untuk rakamannya.

































