Brunei Darussalam: Negara Melayu Islam Beraja

Oleh Dr Muhammad Hadi Bin Muhammad Melayong

Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi, Melayu Islam Beraja

BRUNEI adalah sebuah negara yang mengamalkan cara hidup yang berpandukan kepada Konsep Melayu Islam Beraja (MIB) di mana Islam menjadi paksinya sejak 651 tahun yang lalu. Pengukuhan Islam sebagai agama yang lengkap lagi sempurna telah diperkukuhkan lagi dengan kehadiran Sharif Ali yang menjadi Sultan Brunei ketiga dikenali sebagai Sultan Berkat.

Sebelumnya, Baginda pernah menjawat jawatan Amir Mekah antara tahun 789 Hijrah/1387 Masihi sehingga 797Hijrah/ 1395 Masihi (Jawatan Amir Mekah mula wujud dalam zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam).

Oleh itu, berdasarkan kepada pengalamannya sebagai pemimpin tidak diragukan bahawa dalam zaman pemerintahan Baginda, Brunei telah mengukuhkan dan mengeraskan lagi perlaksanaan hukum-hukum Islam bersandarkan kepada Al-Quran dan hadis yang menjadi warisan Bangsa Brunei masa kini. Berdasarkan catatan Salasilah Raja-Raja Brunei versi Datu Imam Ya’akub mengatakan bahawa ‘…Sharif Ali itulah Kerajaan, dinamai akan dia Paduka Seri Sultan Berkat dan ialah mengeraskan syariat Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan berbuat masjid’ bahkan dikatakan Baginda juga telah menentukan arah kiblat. Perihal kuatnya pegangan Baginda terhadap ajaran dan hukum Islam ini terbukti berdasarkan peraturan-peraturan yang dititahkan antaranya hukum berat dikenakan bagi rakyat dan penduduk Brunei yang beragama Islam memakan babi. (berdasarkan catatan dalam buku Notes on the Malay Archipelago and Malacca Compiled from Chinese Sources).

Bahkan dalam pemerintahan anakanda Baginda Sultan Sulaiman, kerabat diraja yang melakukan perbuatan sumbang yang bertentangan dengan ajaran Islam telah dijatuhkan hukuman yang berat tanpa mengira kedudukan dan darjat mereka demi ketaatan kepada Allah dan RasulNya iaitu persitiwa permakaman Raja Ayang.

Ini membuktikan betapa Sultan Sharif Ali dan pewaris-warisnya mengambil berat tentang perlaksanaan hukum-hukum Islam termasuk kewajipan sembahyang yang merupakan tiang agama Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap rakyatnya yang beragama Islam.

Rombongan jemaah Brunei dibawa oleh Raudah Al-Amin Sdn Bhd telah berkesempatan melawat Jabal Nur di mana terletaknya Gua Hira tempat Baginda Rasulullah SAW menerima wahyu pertama.

Keagungan dan kegemilangan empayar Brunei yang bermula sejak pemerintahan Sultan Sharif Ali sehingga kepada anaknya Sultan Sulaiman, cucunya Sultan Bolkiah dan seterusnya Sultan Muhammad Hassan yang mengujudkan Hukum Kanun Brunei adalah bukti keberkatan Brunei mengamalkan cara hidup Melayu Islam Beraja. Perlaksanaan perundangan Islam telah mewujudkan keadaan aman dan makmur yang mendapat kerahmatan dari Allah SWT sebagai bumi Baldatuun Taybatuun Warrabun Ghaffur. Bayangkan dengan berpegangkan kepada ajaran dan undang-undang Islam, Brunei menjadi tersohor sebagai pusat perkembangan dakwah dan perdagangan Islam di persekitaran kepulauan Borneo. Inilah satu nikmat yang diterima oleh Brunei dan penduduknya yang senantiasa patuh dan taat kepada perintah Tuhannya dan rasulnya serta raja sebagai Ulil-Amri sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Nisaa Ayat 59 yang maksudnya,

“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taati RasulNya dan Ulil Amri di antara kamu, kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Qur`an) dan Rasul (sunnahnya) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhir, yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” 

Oleh itu, Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tanpa kendur-kendur mengingati rakyat dan penduduk negara ini supaya mengamalkan dan melaksanakan ajaran-ajaran agama Islam yang merupakan komponen penting menjadi penentu dalam Konsep MIB yang berlandaskan Al-Quran dan Hadis agar kita sentiasa selamat dan jauh daripada kemurkaan Allah SWT. Ajaran dan hukum Islam adalah merupakan Hak Allah yang menjadi kewajipan dan amanah yang perlu dilaksanakan oleh hambaNya. Baginda Sultan menasihati rakyat negara ini, khususnya umat Islam supaya senantiasa merujuk dan membaca Al-Quran sebagai amalan harian, bukan hanya sekadar di rumah bahkan di pejabat setiap hari apabila hendak memulakan tugas rasmi. Ini adalah kerana Al-Quran itu penyuluh dan penyelamat daripada alam kejahilan dan kegelapan.

Al-Quran adalah panduan dan pegangan dalam kehidupan manusia khususnya bagi umat Islam. Dengan membaca, memahami dan menghayati isi Al-Quran seorang hamba akan dapat mendekatkan dirinya dengan Allah SWT sesuai dengan konsep Negara Zikir. Membaca Al-Quran dan mengamalkan segala ajaran yang terkandung di dalamnya akan mendapat pahala dan sebagai sumber rujukan untuk mendapat keredhaan serta panduan jalan yang lurus sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik daripada Muslim bin Yasar Al-Juhari. Baginda Rasulullah SAW bersabda, “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah nabiNya.”

Justeru, dengan berpegang kepada Al-Quran dan hadis dalam menjalani kehidupan seharian maka akan melahirkan individu atau masyarakat yang celik Al-Quran. Sesungguhnya, amalan kehidupan yang senantiasa berdamping kepada Al-Quran akan senantiasa mendapat hidayah dan rahmat daripada Allah SWT jua. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-An’am ayat 155 yang maksudnya:

“Dan Al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan yang diberkati, maka ikutilah dia dan bertakwalah agar kamu beroleh rahmat.”

Oleh itu, berdasarkan urutan sejarah ini, Baginda Sultan amat mementingkan kewujudan ketakwaan dan keimanan masyarakat Brunei bagi memelihara dan mengukuhkan amalan hidup MIB yang bersandar Al-Quran menjadi perpaduan dan keharmonian hidup bermasyarakat dan bernegara sejak lebih 651 tahun yang lalu. Insya Allah dengan berpegang kepada Konsep MIB negara kita akan senantiasa dilindungi oleh Allah SWT. Sejarah telah membuktikan bahawa, betapa pahitnya liku-liku perjalanan yang pernah dilalui oleh sultan-sultan dan rakyat Brunei dalam mempertahankan cara hidup MIB khususnya kesucian agama Islam namun mereka tetap berdiri tegak mempertahankan Agama Allah. Inilah tugas dan amanah yang perlu laksanakan dalam era globalisasi masa kini iaitu mempertahankan kesucian Agama Islam bagi mendukung hasrat dan cita-cita raja yang kita cintai. Terutamanya daripada anasir-anasir luar yang cuba memesongkan dan memusnahkan ajaran dan kesucian agama Islam.

Senario sejarah masa silam adalah rujukan kita, Baginda telah mengingati rakyat dan penduduk negara ini supaya mengambil iktibar daripada perjuangan Nabi Muhammad SAW bagi mempertahankan ajaran Islam seperti yang terkandung dalam Al-Quran yang diturunkan kepada Baginda Rasul melalui Malaikat Jibril AS. Al-Quran dan hadis inilah menjadi panduan umat manusia supaya hidup lebih bertamadun, berbudaya, bermoral dan berakhlak mulia dengan nilai-nilai kemanusiaan yang menekan keadilan dan kesejahteraan. Ianya jua berasaskan naluri dan lumrah manusia yang bersandarkan amalan hidup tabii yang tidak melanggar dengan hukum alam. Semua ajaran-ajaran ini terdapat dalam Al-Quran dan hadis yang merupakan sebahagian dari catatan sejarah untuk panduan dan pegangan umat manusia bagi kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

Inilah pentingnya mempelajari dan mengetahui sejarah yang berkaitan dengan Islam. Bangsa yang mencuaikan dan tidak mengambil iktibar daripada sejarah silam adalah kaum yang rugi kerana sejarah telah banyak membuktikan kelenyapan dan kehancuran tamadun Islam akibat daripada sikap tidak mempelajari dan mengambil iktibar dari pada sejarah khususnya cerita-cerita mengenai perbuatan kemungkiraan dan kesesatan yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa sabar dalam menempuh segala cabaran dari luar khususnya daripada golongan yang tidak memahami dan mengetahui tentang Islam sebenarnya disebabkan kejahilan dan kebutaan tentang sejarah ketamadunannya.

Maka senjata kita ialah berdoa kepada Allah SWT untuk mendapatkan perlindunganNya. Kita juga berdoa agar golongan yang belum memahami dan mengetahui tentang Agama Islam yang melakukan tuduhan-tuduhan dan pandangan yang negatif mengenainya akan mendapat pertunjuk dan hidayahNya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh nabi junjungan kita. Tanpa menyimpan perasaan dendam sebaliknya kita dengan penuh ikhlas mendoakan semoga pintu hati mereka terbuka dan mendapat hidayah daripada Allah SWT. Inilah cantik dan moleknya amalan cara hidup MIB di bumi Brunei Darussalam yang perlu diketahui oleh masyarakat luar. Sesungguhnya Brunei adalah sebuah negara yang aman damai di mana rakyatnya terdiri daripada berbagai kaum, budaya, agama dan keturunan tetapi saling bersatu padu dan hormat-menghormati di bawah sistem pemerintahan beraja yang menegakkan Islam agama Allah SWT. Sebagaimana titah Baginda Sultan sempena sambutan Israk Mikraj pada tahun 2019:

“Beta ingin tegaskan, bahawa Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara yang molek, yang sentiasa mementingkan ibadat kepada Allah. Ia dipandu oleh sistem MIB yang telah pun berjalan sekian lama sejak ratusan tahun lagi. Sistem ini berkewajipan untuk memelihara dan menjamin semua hak rakyat dan penduduk tanpa mengira puak dan pegangan mereka. Inilah MIB, konsep keramat yang telah berjaya menjelmakan sebuah negara yang adil lagi bahagia, yang hidup didalamnya sebuah komuniti yang bersatu padu.

“Sistem MIB juga telah terbukti amat mesra kepada dunia, sehingga siapa saja yang datang berkunjung ke negara ini akan beroleh pengalaman manis, dapat menikmati suasana aman dan harmoni serta layanan yang sebaik-baiknya.

“Inilah hakikat Brunei, Negara MIB, di mana selain daripada itu, ia bukanlah Brunei.”