Brunei destinasi pelancongan popular

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Julai – Negara Brunei Darussalam dengan alam semula jadinya yang terjaga, kadar jenayah yang rendah, keamanan, keselesaan dan alam sekitar yang bersih, menjadikan negara sebagai sebuah destinasi pelancongan yang popular.

Selaras dengan visi Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) untuk meningkatkan jumlah pelancong ke Negara Brunei Darussalam secara signifikan daripada 218,000 pada 2015 kepada 450,000 pada 2020, misi kementerian adalah untuk mengukuhkan lagi produk-produk pelancongan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pelancongan negara.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di KSSUP, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali ketika berucap pada Majlis Perasmian Latihan Bahasa Cina bagi Guru-Guru Pemandu Pelancongan Cina yang berlangsung di Kolej Perdagangan Laksamana, di sini, hari ini.

Beliau menyatakan lagi bahawa objektif pihaknya adalah untuk melihat jangka masa tinggal dalam kalangan pelancong meningkat, menyaksikan lebih ramai lagi pelancong berulang serta untuk menyaksikan lebih banyak pendapatan pelancongan yang berkualiti tinggi.

Beliau yakin bahawa dengan mencapai semua objektif berkenaan, ia setentunya akan meningkatkan lagi sumbangan pelancongan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Awang Wardi ketika beramah mesra dengan guru-guru yang mengendalikan Latihan Bahasa Cina bagi Guru-Guru Pemandu Pelancongan Cina yang berlangsung di Kolej Perdagangan Laksamana, Bandar Seri Begawan.

Terdahulu dalam ucapannya, Awang Wardi menyatakan bahawa latihan itu merupakan projek utama pertama dalam bidang pelancongan antara Pusat ASEAN-China dan Negara Brunei Darussalam di mana program latihan tiga hari itu akan mengajar serta memperbaiki lagi tahap kefahaman Bahasa Cina dan teknik juru pandu pelancong para peserta terutama ketika memandu pelancong-pelancong dari China.

Jelasnya, menerusi usaha itu, ia juga mampu untuk menyediakan peluang pekerjaan bagi belia tempatan khususnya bagi mereka yang menyertai latihan itu atau mempunyai kefasihan bertutur dalam Bahasa Cina.

Beliau menekankan bahawa latihan itu diperlukan bagi industri pelancongan Brunei memandangkan jumlah pelancong dari China meningkat setiap tahun yang mana China merupakan salah satu pasaran utama bagi negara dan terus berada di kedudukan kedua tertinggi daripada segi jumlah kedatangan melalui udara.

Awang Wardi menerangkan lanjut bahawa jumlah kedatangan pelancong dari China menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah meningkat secara signifikan dari setahun ke setahun di mana pada 2016, jumlah pelancong dari China adalah seramai 40, 838 orang manakala itu, pada 2017 seramai 52, 391 orang dan jumlah itu menjadikan China berada di kedudukan pasaran 10 teratas bagi Negara Brunei Darussalam.

Beliau berkata, perkara itu disebabkan penerbangan carter dari Kunming dan Nanning pada 2017. Pada 2018, Brunei menerima dua penerbangan carter, dua kali seminggu iaitu setiap Rabu dan Ahad dari Kunming dan penerbangan dari Nanning menerusi penerbangan berjadual Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB).

Pada masa yang sama, beliau juga menyatakan bahawa terdapat beberapa perkembangan yang terkini dari segi pelancong penerbangan carter khususnya dari Korea Selatan dan China.

Oleh itu, beliau menyatakan bahawa adalah amat penting untuk pihak yang berkenaan untuk mencari jalan bagi memperbaiki lagi perkhidmatan yang diberikan kepada para pelancong itu terutama untuk menjadikan masa mereka di Brunei selamat, seronok dan memberikan mereka keinginan untuk kembali melawat Brunei pada masa hadapan.