Thursday, February 13, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei destinasi pilihan pelancong China

    Oleh Sim Y. H. & Oleh Lenna N.B.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Julai – Negara Brunei Darussalam kini semakin menjadi destinasi pelancongan pilihan bagi pelancong yang ingin menerokai destinasi yang selamat serta kaya dengan pelbagai khazanah budaya yang menarik terutama di kalangan pelancong dari Republik Rakyat China.

    Keindahan dan keunikan khazanah budaya itu menjadi pilihan apabila penerbangan tempahan pertama Yunnan Lucky Air tiba dari Nanning, Republik Rakyat China di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.

    Di samping itu, satu lagi penerbangan tempahan Yunnan Lucky Air dijadualkan untuk tiba dari Kunming, Republik Rakyat China di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada 18 Julai nanti.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, di sini, Yunnan Lucky Air merupakan syarikat penerbangan kos rendah China yang sebelum ini beroperasi di 14 laluan antarabangsa dan kini memperluaskan lagi rangkaiannya ke Bandar Seri Begawan dari dua destinasi di China iaitu Nanning dan Kunming yang sebelum ini tidak dihubungkan oleh mana-mana syarikat penerbangan.

    Menurut kenyataan itu lagi, perkhidmatan penerbangan terus itu akan beroperasi dua kali seminggu bagi kedua-dua destinasi menggunakan kapal terbang Boeing 737-800 atau Airbus 320.

    Para pelancong dari Republik Rakyat China yang tiba melalui penerbangan pertama Yunnan Lucky Air dari Nanning di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin. - Gambar ihsan Jabatan Kemajuan Pelancongan
    Para pelancong dari Republik Rakyat China yang tiba melalui penerbangan pertama Yunnan Lucky Air dari Nanning di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin. – Gambar ihsan Jabatan Kemajuan Pelancongan

    Bagi penerbangan pertama itu, sebilangan besar penumpang mengikut pakej percutian selama empat, lima atau lapan hari yang merangkumi Brunei sebagai satu destinasi serta juga termasuk lawatan ke Labuan.

    Menurut kenyataan itu lagi, secara purata setiap pelancong dari China membayar kira-kira $1,100 setiap pakej termasuk penginapan di hotel lima bintang.

    Berdasarkan dengan statistik yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan menerusi kajian yang dikendalikan oleh Pusat Pengajian Strategik dan Polisi (CSPS) awal tahun ini, pada 2016, hasil pendapatan yang dijana oleh pasaran China adalah kira-kira $6,451,178.86 dengan purata penginapan selama 2.8 hari.

    Kenyataan menyatakan lagi bahawa pada 2016, Negara Brunei Darussalam telah menerima seramai 40,383 orang pelancong dari China iaitu peningkatan sebanyak 18.7 peratus daripada 2015 dan bagi suku pertama 2017, negara telah menyaksikan peningkatan sebanyak 25.8 peratus jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada 2016.

    Kenyataan menjelaskan bahawa menurut operator syarikat pelancong tempatan, pelancong-pelancong dari China cenderung kepada pakej percutian atau melancong yang berkualiti baik yang memberikan penginapan baik, makanan baik serta memberikan lebih masa untuk menerokai tempat-tempat menarik.

    Brunei merupakan destinasi yang sesuai bagi mereka kerana jaraknya yang tidak begitu jauh dari China, selamat serta kaya dari segi budaya dan khazanah warisannya.

    Mereka juga berpeluang untuk melihat dan menikmati suasana hutan hujan indah yang boleh diakses dengan mudah serta boleh dilawati dalam tempoh sehari atau bermalam. Mereka juga ingin untuk merasai kehidupan harian masyarakat tempatan dan mempelajari mengenai dengan budaya dan adat resam masyarakat tempatan.

    Menurut Jabatan Kemajuan Pelancongan, dengan kehadiran Lucky Air, ia membuka lebih banyak peluang untuk mempromosikan pelancongan Brunei dan meningkatkan lagi jumlah pelawat serta menyumbang kepada visi untuk mencapai sebanyak 450 ribu orang pelawat pada 2020. Dengan kehadiran Yunnan Lucky Air, menurut kenyataan itu lagi, jumlah destinasi yang dihubungkan dengan Brunei telah meningkat daripada 16 kepada 18 dan jumlah perkhidmatan penerbangan bertambah daripada lima kepada enam pada 2017.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda