Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif ber-mula kelmarin hingga 28 November dengan keadaan itu, disebabkan
oleh pengaruh beberapa kawasan tekanan rendah di rantau ini yang menggalakkan pembentukan awan hujan serta seterusnya meningkatkan aktiviti turunan hujan.
Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 40 kilometer sejam semasa atau dekat hujan lebat atau ribut petir. Manakala di perairan Brunei, keadaan laut berombak sedikit, di bawah paras 1.0 meter.
Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini menekankan bahawa negara kini berada dalam penghujung monsun peralihan di mana kesan angin tempatan memainkan peranan mempengaruhi cuaca harian.
Semasa tempoh peralihan monsun berkenaan, cuaca pada lazimnya cerah pada waktu pagi, hujan dan ribut petir berlaku terutama di pedalaman negara pada sebelah petang serta bergerak ke kawasan persisiran dan laut pada waktu malam, dan kadangkala berlanjutan sehingga awal pagi keesokan hari.
Dalam hubungan itu,BDMD menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.
Kejadian pokok tumbang dan tanah susur boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin. Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.
Orang ramai khususnya pemandu di jalan raya dan para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD serta membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.