Brunei dijangka alami hujan lebat sehingga 29 September

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Negara Brunei Darussalam dijangka mengalami cuaca aktif bermula 27 September sehingga 29 September ini disebabkan pembentukan awan hujan yang aktif dan dijangka meningkatkan jumlah turunan hujan.

Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam (BDMD) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini menyatakan, keadaan itu adalah disebabkan negara ini masih lagi berada dalam Monsun Barat Daya. Sehubungan itu, hujan di kawasan pesisiran dan hujan berpetir di kawasan pedalaman dijangka berlaku pada waktu petang, kemudian bergerak ke kawasan laut pada waktu malam.

Keadaan hujan ini sekali-sekala dijangka berlanjutan sehingga waktu pagi dan sekali-sekala lebat dengan kelajuan yang boleh meningkat sehingga 40 kilometer sejam. Manakala keadaan laut berombak di paras sedikit tinggi dan dijangka meningkat sehingga 1.0 m semasa hujan.

Dengan cuaca aktif ini, BDMD menasihatkan orang ramai mengambil perhatian risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat. Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan dan keadaan berangin.

Jabatan berkenaan juga mengingatkan pemandu jalan raya dan para pelaut supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi Brunei WX, Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn.