Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Pasukan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam telah menerima jemputan untuk bermain menentang Laos dalam perlawanan persahabatan di Stadium Kebangsaan Baharu Laos di Vientiane pada 27 Mac nanti, menurut Persekutuan Bolasepak Laos baru-baru ini.
Badan pengurusan bola sepak itu berkata ahli Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) itu akan bermain dua perlawanan iaitu menentang Mongolia dan Brunei Darussalam sebagai sebahagian daripada persediaan mereka bagi Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada Mei.
Ini menandakan penampilan pertama buat pasukan senior Brunei Darussalam di pentas antarabangsa sejak bermulanya pandemik COVID sekiranya perlawanan tersebut diteruskan seperti dirancang.
Pasukan kebangsaan Laos terdiri daripada pemain muda dengan hanya tiga pemain berusia lebih 23 tahun dan dipimpin oleh Billy Ketkeophomphone.
Menurut Persekutuan Bolasepak Laos, mereka akan memulakan siri perlawanan persahabatan menentang Mongolia pada 23 Mac di stadium kebangsaan sebelum bertemu pasukan Tabuan.
Kedua-dua perlawanan itu, yang kebetulan termasuk dalam jendela perlawanan antarabangsa FIFA, adalah sebahagian daripada jadual aktif bola sepak di seluruh benua.
Sementara itu, Filipina dan Malaysia akan bertemu pada hari yang sama dengan perlawanan antara Laos dan Mongolia, manakala Thailand akan berdepan Nepal dan Suriname.
Selain itu, Singapura bakal bermain menentang Malaysia dalam pertemuan persahabatan pada 26 Mac.
Laos berada satu tangga di atas Brunei Darussalam dalam kedudukan terkini FIFA, masing-masing menghuni tangga ke-187 dan 188.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah semasa perlawanan bagi kedudukan ketiga Solidarity Cup Konfederasi Bolasepak Asia (AFF) di Kuching, Malaysia pada November 2016.