Brunei diramal masuki musim barat daya minggu depan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Negara Brunei Darussalam akan memasuki musim peralihan ke musim barat daya yang dijangkakan bermula pada minggu depan.

Keadaan angin yang secara amnya perlahan dan bertiup dari berbagai arah akan mula bertukar bertiup dari arah barat daya.

Jabatan Kajicuaca Negara Brunei Darussalam (BDMD) dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, menjelaskan bahawa semasa musim barat daya, keadaan atmosfera pada kebiasaannya adalah stabil dan aktiviti kejadian ribut petir menjadi berkurangan jika dibandingkan semasa monsun peralihan pada dua bulan yang lalu.

Musim barat daya biasanya akan berterusan sehingga September dan semasa kemuncak musim ini iaitu sekitar Ogos, negara biasanya akan mengalami keadaan berjerebu disebabkan cuaca kering di rantau Asia Tenggara.

Musim barat daya juga adalah selari dengan musim aktif pembentukan sistem siklon seperti ribut tropika dan taufan di kawasan barat laut Lautan Pasifik dan Laut China Selatan.

Sekiranya sistem siklon dikesan, tertakluk kepada jarak lokasi sistem tersebut dari kawasan Brunei, negara akan mengalami keadaan cuaca yang tidak menentu dan sekali sekala berlaku hujan ribut petir berserta angin kencang.

Kenyataan menyatakan, jabatan berkenaan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya akan terus mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang awam juga dapat menghubungi peramal kaji cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.