Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei Film Blitz 29-31 Dis

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept – Dalam usaha mempromosikan industri perfileman tempatan, Pelancongan Brunei dengan kerjasama Origin Artistic Management akan mengadakan Brunei Film Blitz sebagai acara akhir Festival Disember Brunei 2017.

    Acara itu akan dijangka diadakan pada 29 sehingga 31 Disember dengan pengisian pelbagai aktiviti menarik seperti tayangan filem yang dicalonkan, kelas induk dengan industri profesional, ‘48 Hours Filem Blitz’ dan malam anugerah, menurut Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Awang Wardi bin Haji Mohd Ali dan Pengarah Brunei Film Blitz, Dayang Siti Kamaluddin pada sidang media yang diadakan di Tingkat 3, Ibu Pejabat Progresif Cellular hari ini.

    Turut hadir pada sidang media itu ialah wakil pihak pengurusan Origin Artistic Management, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hajah Nurul Amal Munjiatul Athirah serta kakitangan pihak berkenaan.

    Brunei Film Blitz juga akan menampilkan pertandingan yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Terbuka dan Kategori ’48 Hours Film Blitz’. Kategori Terbuka dibukakan kepada orang ramai yang berminat menghantar filem dalam pelbagai genre berdurasi kurang daripada enam minit dan dibuat di dalam negara.

    Manakala Kategori ‘48 Hours Film Blitz’ juga dibukakan kepada orang ramai namun dengan cabaran pembikinan filem itu hendaklah dalam masa 48 jam sahaja dengan ‘jalan cerita rahsia’ yang hanya akan diberikan pada 29 Disember kelak.

    Awang Wardi dan Dayang Siti Kamaluddin semasa sidang media tersebut.
    Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hajah Nurul Amal Munjiatul Athirah bergambar ramai dengan Awang Wardi, Dayang Siti Kamaluddin dan warga Origin Artistic Managemet.

    Menurut Dayang Siti Kamaluddin lagi, pemenang bagi setiap kategori akan diumumkan pada 31 Disember pada Majlis Malam Anugerah Gala Brunei Film Blitz yang mana pemenang akan membawa pulang hadiah bernilai $5,000 dan kamera bagi Kategori Terbuka dan $10,000 dan kamera bagi Kategori ‘48 Hours Film Blitz’.

    Brunei Film Blitz ini adalah bertujuan untuk memupuk, mendidik dan meningkatkan lagi kreativiti pembikin filem tempatan di negara ini.

    Menurutnya lagi, bagi memberikan persiapan bagi peserta Brunei Film Blitz, Origin Artistic Management akan mengadakan satu bengkel pada 29 September nanti yang menampilkan pelbagai profesional dalam industri perfileman.

    Orang ramai yang berminat menyertainya bolehlah mendaftar bermula 18 September ini dengan memuat turun borang penyertaan di https://goo.gl/forms/JLmKSDoTHCvppSkJ3 dan menghantarnya ke Origin Artistic Management, Unit 7 BT Complex, Jalan Lapangan Terbang Antarabangsa.

    Manakala Awang Wardi semasa ditemui menjelaskan Brunei Film Blitz ini akan dapat dijadikan sebagai platform bagi orang ramai yang berminat dalam bidang perfileman dan ia telah disusun dengan begitu rapi melalui pelbagai bengkel nanti yang mendatangkan profesional di luar negara yang akan membantu memantapkan lagi program berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda