Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Brunei Film Blitz yang mula diperkenalkan pada tahun 2017 di bawah Festival Disember Brunei telah meluaskan jangkauan pengaturcaraannya dengan memasukkan penyertaan antarabangsa ke dalam kategori filem pendek yang kompetitif, pada tahun ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sebelum ini, penyertaan bagi pertandingan itu terhad kepada produksi Brunei sahaja namun peningkatan minat serantau dalam acara itu dan kemajuan teknologi maya bermakna festival filem itu boleh berkembang di luar negara.
Pengarah festival filem berkenaan, Dayang Siti Kamaluddin dipetik berkata, kemasukan filem asing ke dalam pertandingan itu memperkukuh komitmen festival terhadap kualiti kandungan Brunei.
“Kita mesti berpegang kepada piawaian pengeluaran antarabangsa yang sama seperti Indonesia, Malaysia dan Filipina jika industri filem tempatan mahukan masa depan yang stabil dan berdaya maju dari segi ekonomi,” ujarnya.
Brunei Film Blitz menampilkan tiga kategori kompetitif iaitu Kategori Terbuka, Kategori Filem Pendek Islamik dan Blitz 96 Jam.
Kategori Terbuka dan Islamik adalah terbuka kepada mana-mana filem pendek yang diterbitkan dalam tahun kalendar yang lalu.
Tiada tema khusus, namun terdapat masa maksimum 12 minit setiap penyertaan di mana pemenang bagi setiap kategori akan menerima wang tunai $1,000.
Manakala itu, Kategori Blitz 96 Jam terbuka kepada semua warganegara yang berada di Negara Brunei Darussalam dengan durasi filem pendek yang dihantar hendaklah 6 minit dan ke bawah dan difilemkan secara eksklusif di Negara Brunei Darussalam.
Ramuan rahsia untuk kategori berkenaan akan diumumkan pada 22 Disember depan.
Ramuan rahsia berkenaan mesti memainkan peranan penting dalam penceritaan atau visual filem pendek. Penghasilan filem berkenaan daripada produksi hingga penyuntingan mesti berlangsung dalam tempoh 96 jam yang ditetapkan.
Semua filem mesti diserahkan pada 26 Disember dan juara akan menerima wang tunai $$1,500.
Festival filem berkenaan diwujudkan di bawah pimpinan Dayang Siti Kamaluddin bersama Pengarah Program, Dr Alex Fischer dengan bermatlamat untuk memperkenalkan penonton di negara ini kepada pelbagai jenis pawagam dari Asia.