Wednesday, October 9, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei fokus tingkat keselamatan bencana serantau

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman telah menghadiri dan mengetuai delegasi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Negara Brunei Darussalam ke Ekspo K-Safety ke-10, 2024 yang berlangsung di Busan, Republik Korea pada 10 September hingga 12 September.

    Menurut kenyataan KHEDN, ekspo itu merupakan salah satu platform yang dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Republik Korea untuk mempamerkan kemajuan teknologi produk terkini yang berkaitan dengan pencegahan, tindak balas dan pemulihan bencana.

    Acara yang membawa tema, Global Disaster Safety Environment and the Future of the Disaster Safety Industry itu disertai oleh lebih 250 peserta dari pelbagai sektor termasuk agensi kerajaan, syarikat swasta, institusi penyelidikan dan organisasi antarabangsa termasuk organisasi pengurusan bencana kebangsaan dari beberapa buah negara.

    Acara tersebut adalah di mana para pakar dan pemimpin industri telah mengongsikan pengetahuan serta membincangkan amalan terbaik dalam meneroka sebarang trend dan teknologi baharu dalam keselamatan bencana melalui beberapa siri persidangan, bengkel dan seminar.

    Antara lain, acara itu juga telah membuka ruang untuk memperkukuhkan lagi rangkaian hubungan kerjasama di antara pakar industri, agensi-agensi kerajaan dan pihak berkepentingan terutama sekali dalam meningkatkan piawaian keselamatan bencana.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin semasa mengadakan kunjungan muhibah kepada TYT Lee Sang-Min di Busan, Republik Korea. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN HAL EHWAL DALAM NEGERI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin semasa menerima cenderamata daripada TYT Lee Sang-Min. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN HAL EHWAL DALAM NEGERI
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN HAL EHWAL DALAM NEGERI
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN HAL EHWAL DALAM NEGERI

    Pada acara tersebut, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin ketika menyampaikan ucaptama mengongsikan mengenai ancaman keadaan cuaca ekstrem yang dialami oleh dunia akibat perubahan iklim, di mana ia memerlukan negara-negara di rantau Asia Pasifik untuk sentiasa membuat pendekatan komprehensif dalam mengukuhkan lagi keselamatan dan pengurusan bencana.

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato juga menekankan kepentingan peranan komuniti dan masyarakat untuk sama-sama berganding bahu agar sentiasa bergiat aktif dalam persediaan, tindak balas dan pemulihan bencana dalam memastikan penyelesaian yang inklusif dan efektif terhadap pengurusan risiko bencana.

    Ini termasuk kerjasama dan penglibatan masyarakat supaya lebih bersiap sedia dan berdaya tahan dalam menghadapi kesan bencana melalui beberapa program kesedaran awam seperti Program Pemimpin Masyarakat dan Program Disaster Preparedness Coordinator (DPC).

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin selaku Pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN bagi Pengurusan Bencana (AMMDM) bagi 2024 juga menyentuh mengenai kepentingan kerjasama global dan serantau dalam pengurusan bencana terutamanya dalam kalangan negara-negara Asia melalui perkongsian pengetahuan, sumber dan amalan terbaik antara negara anggota ASEAN bersama rakan dialog ASEAN melalui mekanisme seperti AMMDM Plus Republik Korea yang ditubuhkan pada 2022.

    Antara hasil positif yang telah dikongsi oleh Yang Berhormat Dato adalah termasuk ASEAN Standards and Certification for Experts in Disaster Management (ASCEND) bagi meningkatkan kualiti sumber tenaga manusia dalam pengurusan bencana mengikut piawaian kompetensi yang ditetapkan.

    Selain itu, beliau juga mengongsikan perkembangan beberapa inisiatif di bawah ASEAN seperti projek ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on Disaster Management Centre (AHA Centre) untuk menjadi hab pengetahuan di rantau ASEAN serta projek ASEAN Emergency Response and Assessment Team (ASEAN-ERAT) dan Disaster Emergency Logistics System for ASEAN (DELSA) yang merupakan inisiatif-inisiatif untuk meningkatkan tindak balas yang berkesan dan efektif kepada bencana berskala besar dan mendukung deklarasi One ASEAN, One Response kepada pengurusan bencana di rantau berkenaan.

    Semasa acara ekspo tersebut, Yang Berhormat Dato juga telah mengadakan kunjungan muhibah bersama Menteri Dalam Negeri dan Keselamatan Republik Korea, Tuan Yang Terutama Lee Sang-Min bagi membincangkan potensi untuk mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dalam bidang pengurusan bencana antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea.

    Turut dibincangkan adalah perkembangan kerjasama dalam pengurusan bencana di antara ASEAN dan Republik Korea menurut Pelan Kerja ASEAN-Republik Korea dalam Pengurusan Bencana 2021-2025, di mana Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea adalah merupakan Pengerusi Bersama kepada mekanisme AMMDM Plus Republik Korea pada 2024. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan dari KHEDN dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda