Brunei hampir capai 80% penduduk lengkap vaksinasi

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Hanya tinggal 0.5 peratus sahaja lagi diperlukan oleh negara kita bagi mencapai 80 peratus kadar dua dos vaksin COVID-19 sebagai salah satu syarat untuk memasuki Fasa Endemik.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media mengongsikan seramai 3,003 orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19, kelmarin, 25 November.

“Dengan jumlah tersebut, seramai 341,909 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 79.5 peratus daripada jumlah penduduk negara di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan.

“Manakala seramai 402,428 orang telah menerima satu dos vaksin COVID-19 iaitu 93.6 peratus daripada jumlah penduduk negara,” jelas Yang Berhormat Dato.

Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam kini telah mencatatkan sebanyak 744,337 jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19, sejak ia mula diberikan pada 3 April lalu.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah pemberian dos tertinggi berbanding dengan daerah-daerah lain iaitu sebanyak 477,506, diikuti dengan Daerah Belait (99,822), Daerah Tutong (86,520) dan Daerah Temburong sebanyak 80,489 dos.