Brunei hantar 200 tan metrik hidrogen ke Jepun

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 27 NOV – Lebih 200 tan metrik hidrogen dijangka dibekalkan ke Jepun untuk menjana loji tenaga sepanjang tahun 2020 setelah projek demonstrasi rangkaian bekalan hidrogen pertama di dunia mula beroperasi di Taman Industri Sungai Liang (SPARK), di sini.

“Dalam hal ini, penghantaran pertama ke loji Kawasaki, Jepun akan mencatatkan rekod dunia bagi pemindahan hidrogen jarak jauh di bawah keadaan atmosfera baik,” kata Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein (gambar bawah) semasa berucap pada majlis perasmian Loji Demo Hidrogen Advanced Hydrogen Energy Chain Association for Technology Development (AHEAD) di Tapak AHEAD, SPARK, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Dato, loji tersebut adalah sebahagian daripada projek demonstrasi rangkaian bekalan hidrogen sejagat pertama Organisasi Pembangunan Tenaga dan Industri Teknologi Baharu Jepun (NEDO) yang akan dijalankan selama setahun bermula Januari hingga Disember 2020 dengan menggunakan gas asli cecair (LNG) dari Brunei LNG Sdn Bhd.

Loji penghidrogenan itu kemudian akan menghasilkan hidrogen yang akan dibungkus semula dalam bentuk sebatian stabil dan dihantar bagi perjalanan jarak jauh.

“Kami berbesar hati diberi peluang untuk bekerjasama dengan rakan Jepun sebagai perintis ke arah penemuan cara pengangkutan hidrogen global berpatutan menggunakan teknologi hidrogen SPERA Syarikat Perusahaan Chiyoda.

“Selepas projek rintis setahun siap, kita akan berpeluang untuk menguji bekalan hidrogen rentas sempadan daripada loji penghidrogenan ini dan kita akan terus menyokong kempen sejagat untuk menjangkakan bagaimana untuk menggunakan tenaga hidrogen dan meneroka lebih lanjut manfaatnya,” ujarnya lagi.

Yang Berhormat Dato berkata menjelang 2020, loji demonstrasi itu boleh digunakan dalam pelbagai peluang seperti hab pembelajaran yang berkaitan dengan hidrogen dengan beberapa kajian menunjukkan penggunaan meluas hidrogen akan sebahagiannya dipacu oleh sector pengangkutan.

Justeru sel bahan hidrogen akan membuka laluan untuk dipantau lebih dekat oleh Kementerian Tenaga dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Contohnya, seperti penggunaan kenderaan elektrik yang dikuasai sel bahan api hidrogen bagi mobiliti mapan seperti kereta dan bas hidrogen.

Tenaga hidrogen, katanya lagi, semakin mendapat momentum sebagai salah satu pilihan utama teknologi yang akan memainkan peranan dalam peralihan tenaga dan pengurangan karbon dalam masyarakat, bersama Jepun berada di barisan hadapan atas usaha ini dengan meningkatkan tenaga hidrogen dalam campuran tenaga mereka bagi penjanaan kuasa dan sektor pengangkutan.

Hidrogen juga mengeluarkan pelepasan emisi yang sedikit berbanding bahan api dan akan menjadi cara terbaik untuk menyokong komitmen perubahan iklim di bawah Perjanjian Paris yang menyasarkan pengurangan suhu global pada 1.5 darjah Celsius.

Seperti yang diketahui, kita berada di tengah-tengah peralihan tenaga global dengan Agensi Tenaga Antarabangsa melaporkan tahun lalu permintaan tenaga global pantas berkembang beberapa dekad yang lalu sebanyak 2.3 peratus, sementara pelepasan emisi karbon dioksida meningkat 1.7 peratus.

“Sebab itu, timbul keperluan untuk memenuhi permintaan ini secara mapan, untuk menyeimbangkan impak kepada alam sekitar dan keselamatan tenaga masa depan. Oleh itu, kita telah menyaksikan peningkatan sumbangan daripada tenaga alternatif dan diperbaharui dengan pelbagai model berlainan pembekalan tenaga, namun Agensi Tenaga Antarabangsa juga menyatakan ia belum lagi mencukupi untuk memenuhi permintaan.

“Hari ini Brunei sekali lagi mempunyai peluang kerjasama unik bersama Jepun dalam perkembangan penting yang akan merubah industri gas seluruh dunia iaitu tenaga hidrogen yang diharap akan digunakan dalam skala besar-besaran.

“Bagaimanapun, perkara utama kepada gagasan penerimaan tenaga hidrogen adalah mampu miliki walaupun ia masih di peringkat awal dan kami berharap bagi kecemerlangan dalam inovasi yang akan membantu mengurangkan kos penjanaan, penyimpanan dan pengangkutan tenaga hidrogen,” ujarnya.

Untuk menjayakannya, ujar beliau, Brunei akan bergantung pada kerjasama global dalam penyelidikan dan pembangunan, mengadaptasi skala pengerahan besar-besaran dan memenuhi permintaan sumber berkenaan.

Negara Brunei Darussalam bersama negara-negara lain berusaha untuk mencapai kejayaan dalam masyarakat hidrogen sejagat bersepadu dengan meningkatkan usaha berterusan antara sektor awam dan swasta, dan membangunkan teknologi hidrogen untuk mempromosi penggunaannya secara meluas.