BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Negara Brunei Darussalam hari ini menjadi tuan rumah kepada Bengkel Latihan Asia/Pacific Group Pre-Mutual Evaluation yang berlangsung sehingga 14 Februari di Hotel Antarabangsa Rizqun.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Autoriti Monetari Brunei Darussalam di sini hari ini, bengkel dikendalikan oleh wakil dari Asia/Pacific Group on Money Laundering (APG), khusus untuk negara-negara ahli APG yang akan melalui proses Penilaian Bersama (Mutual Evaluation) bagi tempoh tahun 2018 hingga 2020.
Bengkel latihan tersebut disertai oleh pegawai- pegawai kerajaan dari Negara Brunei Darussalam, Chinese Taipei, Pakistan, Papua New Guinea, Republik Filipina, Pulau Solomon, Tonga, dan Vietnam.
APG merupakan sebuah badan serantau bagi pembanterasan pembersihan wang haram yang mempunyai 41 negara ahli dari kawasan Asia Pasifik, termasuk Negara Brunei Darussalam, yang menjadi ahli pada tahun 2002. APG memerlukan negara-negara ahli untuk melalui proses Penilaian Bersama untuk menilai tahap pematuhan terhadap piawaian antarabangsa berhubung pembanterasan pembersihan wang haram dan pembiayaan pengganasan.
Negara Brunei Darussalam akan melalui proses Penilaian Bersama yang ketiga pada tahun 2020. Persediaan Negara Brunei Darussalam terhadap proses ini diketuai oleh Jawatankuasa Kebangsaan Bagi Membanteras Pembersihan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan (NAMLC).