Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Mesyuarat Jawatankuasa Peranti Perubatan ASEAN (AMDC) ke-12 telah bermula hari ini di Hotel Radisson, di ibu negara di mana ia akan berlangsung selama tiga hari.
Ia dihadiri oleh para perwakilan pihak berkuasa perundangan peranti perubatan, Jabatan Teknologi Penjagaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan dan perwakilan pihak berkuasa perundangan peranti perubatan daripada setiap negara anggota ASEAN.
AMDC ke-12 berobjektif untuk membincangkan perkara-perkara berbangkit, perancangan dan apa jua isu yang patut dilaksanakan dalam AMDC, bagi memastikan perjanjian ASEAN Medical Device Directive (AMDD) dipatuhi oleh semua pihak serta membincangkan keperluan latihan-latihan teknikal dan pembangunan kapasiti bagi AMDC dan bersama rakan-rakan dialog AMDC seperti Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.
Selain itu, mesyuarat juga diadakan untuk membincangkan dokumen-dokumen teknikal dan/atau panduan yang sekata yang akan diadaptasikan oleh setiap ahli-ahli negara ASEAN.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, AMDC telah ditubuhkan hasil penandatanganan perjanjian AMDD pada 21 November 2014 oleh menteri-menteri perdagangan negara anggota ASEAN yang merupakan salah satu kumpulan kerja produk (PWG) dalam bidang standards and conformance, yang diselenggarakan oleh ASEAN Consultative Committee on Standards and Conformance (ACCSQ), iaitu jawatankuasa kerja dalam Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
Mesyuarat pertama AMDC telah diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia pada 1 dan 2 Disember 2015.
Sebelum tertubuhnya AMDC, PWG bagi produk peranti-peranti perubatan di bawah ACCSQ adalah Kumpulan Kerja Produk Peranti Perubatan (MDPWG) yang dipertanggungjawabkan untuk membincangkan AMDD sehingga penandatanganannya.
Tujuan penubuhan AMDC adalah untuk memantau implementasi perjanjian AMDD di setiap negara anggota ASEAN dan memberi bantuan kepada negara-negara anggota yang memerlukan di samping untuk memastikan tafsiran yang serata bagi perjanjian AMDD oleh ahli-ahli negara ASEAN serta memastikan AMDD dapat dilaksanakan dengan teratur dan secepat mungkin bagi mendukung hasrat AEC dengan merangka pelan kerja.
Selain itu, ia juga bertujuan bagi merangka bantuan-bantuan teknikal seperti program pembangunan kapasiti dan latihan bagi membantu negara-negara anggota ASEAN melaksanakan kawalan-kawalan yang telah dimasukkan di dalam AMDD.