Friday, December 6, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei hoskan ASEAN SOMRDPE, Mesyuarat Berkaitan ke-21

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN untuk Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan dan Mesyuarat Berkaitan Kali ke-21 (ASEAN SOMRDPE) yang bermula hari ini hingga 14 November 2024.

    Mesyuarat yang berlangsung Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, itu dimulakan dengan Forum Perkongsian Orang Awam-Swasta ASEAN mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan ke-13 (ASEAN PPP RDPE) dengan tema Youths as Agents of Change Towards a Resilient ASEAN: Strengthening the Role of Youths in Poverty Eradication and Rural Development.

    Hadir pada forum sebelah pagi, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, dalam ucapan alu-aluanya antara lain menekankan, kepentingan untuk mengiktiraf peranan kritikal yang dimainkan oleh belia sebagai ejen perubahan.

    Belia bukan sekadar pemimpin hari esok, bahkan belia adalah pemimpin masa kini. Selain menekankan golongan muda di seluruh ASEAN untuk berada di barisan hadapan dalam pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan, menyumbang sebagai usahawan, sukarelawan, peguam bela dan inovator.

    “Tenaga, kreativiti dan keazaman para belia yang mendorong penyelesaian baharu kepada cabaran yang berpanjangan, menjadikan penglibatan mereka bukan sahaja bermanfaat tetapi juga penting,” jelasnya.

    Hajah Nor Ashikin semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada forum berkenaan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Antara wakil peserta dari negara ASEAN yang menghadiri forum tersebut. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Seterusnya beliau juga berbesar hati untuk meraikan kemajuan ASEAN dalam mengintegrasikan belia dalam rangka kerja pembangunannya.

    Inisiatif seperti Pelan Induk ASEAN mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Rangkaian Perkampungan ASEAN telah mengorak langkah dalam memperkasakan belia dan mengukuhkan komuniti luar bandar.

    Manakala pada forum sesi petang, Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, selaku pengerusi bersama forum, dalam ucapan beliau antara lain menggariskan salah satu tugas terpenting KHEDN untuk bergerak ke hadapan adalah memastikan penyediaan sokongan yang diperlukan untuk membantu golongan muda sebagai pembuat perubahan.

    Selain menggalakkan penyertaan aktif belia dalam pembangunan luar bandar, pembasmian kemiskinan, dan proses membuat keputusan merentas semua sektor.

    “Ini sama ada melalui keusahawanan, kepimpinan komuniti, atau advokasi untuk pembangunan mampan, golongan muda mesti diberikan peluang untuk menyumbang secara bermakna kepada visi ASEAN yang berdaya tahan,” jelasnya.

    Forum tersebut telah disertai oleh wakil-wakil daripada pihak kerajaan, pertubuhan bukan Kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil (CSO), sektor swasta dari negara-negara ASEAN, termasuklah para penerima Anugerah Kepimpinan RDPE ASEAN dari Negara Brunei Darussalam serta wakil-wakil daripada rakan pembangunan ASEAN.

    Forum ini dibahagikan kepada lima sesi berdasarkan tajuk-tajuk iaitu Peranan Usahawan Belia dalam Perubahan Sosial dan Ekonomi; Penglibatan Belia dan Sukarelawan dalam Pembasmian Kemiskinan; Menangani Kemiskinan melalui Pendigitalan; Belia dan Akses Setara kepada Pendidikan serta Program Kemahiran Hidup; dan Revitalisasi Luar Bandar untuk Pengurangan Kemiskinan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda