Saturday, January 18, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Brunei jadi ahli penuh APPF

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Majlis Mesyuarat Negara (MMN), sekali lagi melakar sejarah apabila Negara Brunei Darussalam menjadi ahli penuh Asia-Pacific Parliamentary Forum (APPF) yang telah berlangsung di sidang pleno terakhir pada Mesyuarat APPF ke-29, yang dianjurkan secara dalam talian oleh Republik Korea, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Majlis Mesyuarat-mesyuarat, di sini, hari ini.

    Menurut kenyataan berkenaan sebelum itu, Negara Brunei Darussalam telah menjadi negara pemerhati kepada APPF sejak awal penubuhannya pada 1993 dan terus komited dalam menghadiri mesyuarat-mesyuarat tahunan APPF.

    APPF sebagai sebuah forum parlimen nasional dan antarabangsa berperanan untuk membincangkan hal-hal berkepentingan bagi negara-negara rantau Asia dan Pasifik, seterusnya mempromosikan kerjasama di semua peringkat dalam apa jua isu-isu perkembangan politik, sosial, ekonomi dan budaya yang kritikal.

    Dalam kenyataan ucapan penerimaan sebagai ahli penuh yang telah disampaikan oleh ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii selaku ketua delegasi Negara Brunei Darussalam menyampaikan ucapannya mengenai kerjasama serantau yang ternyata sangat penting terutamanya pada masa pandemik COVID-19 ini.

    APPF sebagai salah satu saluran membincangkan dan bertukar-tukar fikiran mengenai dasar utama dan amalan terbaik bertujuan bagi penyelarasan dan perpaduan dalam menangani perkara-perkara yang berkepentingan bersama.

    Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi semasa menghadiri Forum APPF yang diadakan secara maya dari Republik Korea baru-baru ini. – Gambar serahan Jabatan Majlis Mesyuarat-mesyuarat

    Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi juga telah menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam akan memberikan komitmen dan dedikasi dalam mengambil bahagian secara aktif dalam perbincangan yang menjadi perhatian bersama, dan juga akan menyumbang secara berkesan kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini serta juga berusaha untuk sama-sama merealisasikan matlamat dan objektif utama bersama. Melalui APPF, negara juga diharap dapat mengukuhkan hubungan dengan institusi parlimen di rantau Asia-Pasifik.

    Mesyuarat APPF ke-29 dianjurkan secara maya oleh Negara Republik Korea dan dihadiri oleh 22 parlimen negara rantau Asia dan Pasifik termasuk dari Negara Brunei Darussalam.

    Delegasi Negara Brunei Darussalam terdiri daripada Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis-majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar; ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim dan Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit.

    Bersesuaian dengan tema mesyuarat, The Role of Parliaments in Strengthening Resilience in the Post-COVID-19 Era, APPF29 telah membincangkan isu utama berkaitan pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan buruk kepada semua sektor pertumbuhan global.

    Dalam tindak balas untuk menangani wabak tersebut, banyak nilai masyarakat antarabangsa telah terancam dalam proses tersebut antaranya keamanan, kemakmuran dan perdagangan disebabkan langkah-langkah seperti penutupan sempadan dan serantau, serta langkah-langkah lain telah mengehadkan kebebasan individu dan sistem pengeluaran dan perdagangan global, mengakibatkan kemerosotan ekonomi yang drastik.

    Dalam hal itu, kerjasama antarabangsa diperlukan untuk membolehkan pro-ses pemulihan segera bagi negara dan masyarakat dan sebagai kesiapsiagaan bagi krisis global masa depan yang serupa. Dalam memperkukuhkan daya tahan sistem sosial untuk merapatkan sebarang jurang dalam keupayaan tindak balas dan persediaan menghadapi risiko masa depan ini, parlimen adalah berperanan penting sebagai pengawas kerajaan dan penggubal undang-undang dan di dalam aspek ini, APPF sebagai forum dapat mengetuai perbincangan bagi menghubungkan parlimen di rantau Asia-Pasifik.

    Mesyuarat APPF ke-29 telah bersidang selama tiga hari dan meluluskan sebanyak 13 resolusi dalam sebuah kenyataan bersama yang ditandatangani oleh ketua-ketua perwakilan ahli APPF. Agenda-agenda yang diluluskan termasuk isu-isu rantau Asia dan Pasifik antaranya isu Women Parliamentarians, Politik dan Sekuriti, Ekonomi dan Perdagangan serta isu-isu kerjasama serantau Asia-Pasifik. Mesyuarat ditutup dengan Majlis Penyerahan Tuan Rumah kepada Thailand sebagai negara penganjur seterusnya bagi tahun hadapan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda