Brunei, Jepun meterai kerjasama dalam bidang kesihatan

TOKYO, 15 April – Negara Brunei Darussalam memeterai memorandum kerjasama dalam bidang penjagaan kesihatan dalam satu majlis diadakan di Tokyo, kelmarin.

Menandatangani sebagai wakil kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Mohammad Isham bin Jaafar dan bagi pihak Negara Jepun pula, Menteri Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun, TYT Katsunobu Kato.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan di sini, memorandum tersebut mengandungi persetujuan kerjasama dalam bidang-bidang kesihatan yang antara lainnya merangkumi perkembangan sumber tenaga manusia dengan menyediakan latihan dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan, pertukaran dan perkongsian maklumat dan pengalaman mengenai dasar dan sistem penjagaan kesihatan; pengenalan rawatan-rawatan terkini dalam bidang perubatan, farmaseutikal dan peralatan perubatan serta pertukaran maklumat mengenai peraturan pengawalannya dan kerjasama dalam bidang-bidang kesihatan lain yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Turut hadir pada majlis itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam di Jepun, Puan Yang Terutama Dayang Kamilah binti Haji Mohd Hanifah dan Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) Kementerian Kesihatan, Dr. Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif.

Manakala pada 13 dan 14 April, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Mohammad Isham bersama-sama pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kesihatan sedunia telah menghadiri Sidang Kemuncak Global Menteri-menteri Mengenai Keselamatan Pesakit ke-3 di Tokyo.

Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Mohammad Isham ketika sesi bergambar ramai bersama pegawai-pegawai kanan dari kementerian kesihatan sedunia yang menghadiri Sidang Kemuncak Global Menteri-menteri Mengenai Keselamatan Pesakit ke-3 di Tokyo.
Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Mohammad Isham ketika bertukar dokumen perjanjian bersama TYT Katsunobu Kato.

Sidang kemuncak tersebut bertujuan meningkatkan lagi komitmen sejagat terhadap penjagaan serta perlindungan keselamatan pesakit.

Seramai 17 Menteri-menteri Kesihatan dan wakil-wakil daripada 42 negara serta pertubuhan-pertubuhan lain termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan World Bank telah menghadiri sidang kemuncak tersebut.

Ketika sesi selama dua hari tersebut, Yang Berhormat Dato serta rombongan telah menyertai sesi expert summit yang mana pakar-pakar kesihatan bertukar pandangan dan mengongsikan pengalaman khususnya di dalam bidang keselamatan pesakit dari pelbagai perspektif seperti budaya keselamatan pesakit (patient safety culture), keselamatan pesakit di kalangan warga emas (patient safety in ageing society), keperluan keselamatan pesakit dalam pencapaian penjagaan kesihatan sejagat di negara-negara yang berpendapatan rendah dan sederhana (patient safety needs for achieving UHC in low-and middle-income countries), teknologi infokomunikasi di dalam keselamatan pesakit (information and communication (in patient safety) dan keselamatan pesakit dari perspektif ekonomi (economics of patient safety).

Yang Berhormat Dato juga telah mengongsikan sistem penjagaan kesihatan Negara Brunei Darussalam dan pencapaian Negara Brunei Darussalam dalam memastikan keselamatan pesakit ketika sesi roundtable semasa Ministerial Summit tersebut.

Sebagai hasil perbincangan tersebut, sidang kemuncak tersebut telah mengesahkan Tokyo Declaration on Patient Safety yang antara lain dihasratkan untuk meneguhkan lagi komitmen kepada Tindakan Global Mengenai Keselamatan Pesakit (Global Action on Patient Safety) dengan sentiasa mengutamakan keselamatan pesakit dalam dasar-dasar dan program-program sektor kesihatan disamping meningkatkan usaha ke arah mencapai liputan penjagaan kesihatan yang menyeluruh (Universal Health Coverage).

Ia juga mengisytiharkan komitmen untuk mewujudkan budaya keselamatan dan ketelusan, mendidik dan melatih tenaga kerja dalam penjagaan keselamatan pesakit serta mengongsi pengetahuan mengenai model amalan terbaik dan berjaya. Deklarasi tersebut juga menyokong bagi meraikan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia pada 17 September setiap tahun.