Brunei kekal bebas jangkitan COVID-19

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Buat hari kelima berturut-turut, Negara Brunei Darussalam tidak mencatatkan sebarang kes baharu yang disahkan dijangkiti COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Negara Brunei Darussalam kekal sebanyak 135 kes.

Sementara itu, satu kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan telah disahkan sembuh dan dibenarkan untuk pulang ke rumah, membawa jumlah keseluruhan yang telah sembuh kepada 92 orang.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan hari ini, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan juga mengongsikan bahawa terdapat 42 kes yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan.

Tambahnya, dua orang masih dalam keadaan kritikal dan kedua-duanya memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) di samping bantuan mesin pernafasan manakala selebihnya adalah dalam keadaan yang baik.

“Pada hari ini juga, jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 ialah sebanyak 2,293 orang dan hanya 91 orang sahaja yang masih menjalani kuarantin.

“Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 337 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 8,985 ujian,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 (pada bila-bila masa) atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.