Brunei kekal di kedudukan ke-191 ranking FIFA

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Pasukan Bola sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kekal berada di kedudukan ke-191 ranking dunia, menurut kedudukan terkini ranking FIFA dunia diterbitkan baru-baru ini.

Ranking yang memaparkan kedudukan pasukan bola sepak kebangsaan lelaki dan wanita dari berbagai-bagai konfederasi, dikeluarkan buat kali pertama tahun ini.

Pasukan Tabuan dibezakan dua mata di belakang Mongolia, lawan terakhir mereka di peringkat antarabangsa semasa pusingan kelayakan Piala Dunia dua tahun lalu, dan tujuh mata di belakang Bhutan.

Pasukan kebangsaan berada empat mata di hadapan American Samoa, tujuh mata di hadapan Pulau Cayman dan mendahului Samoa dengan 10 mata.

Dari kedudukan pasukan yang beraksi di Konfederasi Bola sepak Asia (AFC), Brunei Darussalam kekal di kedudukan ke-42 daripada 46 ahli persekutuan. Dalam ranking sebelumnya, mereka berada di kedudukan hadapan pesaing daripada Persekutuan Bola sepak Asean (AFF) iaitu Timor Leste, Guam, Pakistan dan Sri Lanka.

Aksi pemain kebangsaan menjalani latihan di Padang Bola sepak NFABD.

Pasukan Tabuan menegaskan niat mereka untuk mara ke pusingan kumpulan Piala Suzuki AFF – yang dijadualkan berlangsung kemungkinan pada bulan Disember – berikutan pelantikan ketua jurulatih baharu, Datuk K. Rajagobal.

Pasukan kebangsaan juga menjalani latihan di Padang Bola sepak Persatuan Bola sepak Negara Brunei Darussalam (NFABD) awal bulan ini di bawah kendalian jurulatih baharu tersebut.

Sementara itu, Vietnam menduduki ranking teratas pasukan Asia Tenggara di kedudukan ke-93 manakala berada di tangga tertinggi pasukan yang berkait dengan AFF adalah Australia di kedudukan ke-41.

Juara bertahan Piala Suzuki AFF itu berada di posisi pertama bagi kelayakan untuk pusingan ketiga Piala Dunia dan ketika ini mereka berada di puncak Kumpulan G di hadapan Malaysia, Thailand, Emiriah Arab Bersatu dan Indonesia.

Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-Seo baru-baru ini berkata pasukannya perlu meraih enam mata dalam baki tiga perlawanan untuk mengesahkan kelayakan ke pusingan seterusnya buat kali pertama.

Thailand merupakan pasukan kedua terbaik di Asia Tenggara berada di kedudukan ke-110 sementara Filipina, yang sebelum ini dinobatkan sebagai pasukan terbaik Asia Tenggara, berada di kedudukan ketiga di ranking ke-124.

Belgium, yang diterajui oleh Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku, berada di kedudukan teratas ranking diikuti oleh juara dunia, Perancis dan Brazil masing-masing berada di kedudukan kedua dan ketiga. England yang diurus oleh Gareth Southgate berada di ranking keempat manakala Portugal melengkapkan senarai lima teratas.

AFC baru-baru ini mengumumkan bahawa Piala Dunia 2022 dan perlawanan kelayakan AFC 2023 akan dipindahkan ke bulan Jun disebabkan sekatan perjalanan dan kuarantin akibat pandemik COVID-19.