Brunei kekal sifar jangkitan COVID-19

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Negara Brunei Darussalam kekal mencatatkan sifar kes jangkitan koronavirus COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kekal 138 orang.

“Dua kes telah disahkan sembuh daripada COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah sembuh kepada 130 orang. Ini membawa jumlah kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan pada ketika ini kepada tujuh kes.”

Demikian telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Daripada jumlah tersebut dua daripadanya masih dalam keadaan kritikal dan kedua-duanya masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) di samping bantuan mesin pernafasan, manakala selebihnya adalah dalam keadaan yang baik.

Menurutnya lagi, pada hari ini juga, seramai 24 orang masih menjalani kuarantin mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204, manakala jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin ialah seramai 2,551 orang.

“Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 214 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 14,476 ujian,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Mengenai dengan kes yang telah sembuh tetapi didapati positif semasa pemeriksaan susulan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham memaklumkan bahawa tidak ada kes yang sedemikian disahkan hari ini, manakala satu kes telah dibenarkan pulang.

“Ini membawa jumlah keseluruhan kes yang sedemikian pada masa ini seramai 22 orang di mana seorang masih menjalani pemeriksaan dan ujian lanjut,” tambahnya.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika berucap semasa sidang media berkenaan.