Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Brunei, Kemboja kukuh hubungan

    Gambar oleh Infofoto

    PHNOM PENH, 14 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan keselamatan rantaian makanan dan bekalan adalah penting di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik.

    Baginda menegaskan perkara itu semasa berkenan berangkat ke Peace Palace bagi menghadiri Mesyuarat Dua Hala bersama Perdana Menteri Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen, hari ini.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Baginda seterusnya menzahirkan penghargaan kepada Kemboja yang terus menghantar bekalan beras ke Negara Brunei Darussalam, meskipun menghadapi pandemik COVID-19.

    Menyentuh mengenai kerjasama dalam kebudayaan, belia dan sukan, Baginda mengambil maklum kedua-dua buah negara telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang kebudayaan dan seni halus serta kerjasama belia pada tahun 2021.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Santap Negara yang dihoskan oleh KDYMM Preah Bat Samdech Preah Boromneath Norodom Sihamoni, di Royal Palace Ground, kelmarin.
    ATAS & BAWAH: KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa mengadakan pertemuan bersama KDYMM Preah Bat Samdech Preah Boromneath Norodom Sihamoni di Royal Palace, Phnom Penh, Kemboja dan disusuli dengan Majlis Santap Negara di Preah Reach Damnak Serei Mongkol, Royal Palace Ground.

    Baginda Sultan bersama Perdana Menteri Kemboja menyaksikan Majlis Penandatanganan MoU antara kerajaan Brunei dan Kemboja. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    Baginda Sultan berkenan menerima mengadap TYT Samdech Chaufea Veang Kong Som Ol yang menyembahkan kad jemputan bagi Keberangkatan Negara bersama dua jambangan bunga. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    Baginda Sultan berkenan berangkat ke Peace Palace bagi menghadiri Mesyuarat Dua Hala bersama TYT Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    Baginda Sultan berkenan meletakkan kalungan bunga di tugu peringatan The Norodom Sihanouk Memorial.

    Semasa mesyuarat tersebut juga, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menzahirkan ucapan tahniah kepada Kemboja atas kejayaan mempengerusikan ASEAN pada tahun ini.
    Negara Brunei Darussalam dan Kemboja, titah Baginda, terus menjalinkan hubungan mesra dan akrab sejak penubuhan hubungan diplomatik pada 30 tahun yang lalu.

    Ke arah ini, Baginda Sultan mengalu-alukan peluang-peluang baharu untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam semua bidang, sambil menambah bahawa penandatanganan MoU dalam Konsultasi Bilateral adalah tepat pada masanya untuk mewujudkan satu platform bagi kedua-dua belah pihak bekerjasama bagi meraih manfaat bersama.

    Dalam mengakhiri titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berterima kasih kepada Perdana Menteri Kemboja selaku Pengerusi ASEAN atas kepimpinannya dalam memastikan keutamaan pembangunan ASEAN dicapai, meskipun berhadapan dengan persekitaran global yang mencabar.

    Pada penghujung mesyuarat berkenaan, satu Kenyataan Bersama telah dikeluarkan.

    Selepas majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama menyaksikan majlis penandatanganan bagi satu MoU antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan kerajaan Kemboja.

    Majlis penandatanganan disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof bagi pihak kerajaan Baginda, dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, TYT Prak Sokhonn, bagi pihak kerajaan Kemboja.

    MoU itu bertujuan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bersama bagi Konsultasi Bilateral (JCBC) antara Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa, Kemboja untuk mempertingkatkan konsultasi dan kerjasama dua hala.

    JCBC ini akan memudah cara konsultasi dan kerjasama dalam semua bidang yang berkepentingan bersama dalam melaksanakan perjanjian-perjanjian yang ditandatangani antara kedua-dua buah negara.

    JCBC ini juga akan bekerjasama dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu dua hala dan antarabangsa dalam pelbagai bidang yang menjadi kepentingan bersama termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, kesihatan, pelancongan, belia, sukan dan pembangunan modal insan serta bidang-bidang lain yang dipersetujui oleh kedua-dua buah negara.

    Majlis menerima mengadap Timbalan Perdana Menteri dan Minister of the Royal Palace, Kemboja

    Terdahulu, pada sebelah pagi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima mengadap Timbalan Perdana Menteri dan Minister of the Royal Palace Kemboja, TYT Samdech Chaufea Veang Kong Som Ol, yang menyembahkan aturcara dan kad jemputan bagi Keberangkatan Negara serta dua jambangan bunga daripada Raja Kemboja, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Preah Bat Samdech Preah Boromneath Norodom Sihamoni; dan bekas Permaisuri Norodom Monineath Sihanouk.

    Turut hadir ialah Privy Councillor of His Majesty the King Norodom Sihamoni dan Senior Minister in charge of the General Affairs to the Royal Palace, TYT Kuy Sophal dan Senior Minister in charge of Special Mission, TYT Okhna Datuk Dr Othsman Hassan selaku menteri pengiring.

    Majlis Sambutan Rasmi dan Majlis Perjumpaan

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya memulakan Keberangkatan Negara dengan menghadiri Majlis Sambutan Rasmi yang berlangsung di Royal Palace, Phnom Penh, Kemboja.

    Keberangkatan tiba Baginda Sultan di perkarangan Royal Palace dialu-alukan oleh KDYMM Preah Bat Samdech Preah Boromneath Norodom Sihamoni, di mana Baginda berdua seterusnya berangkat ke pentas khas untuk menerima tabik hormat diiringi dengan lagu kebangsaan kedua-dua buah negara dan 21 das tembakan meriam.

    Ini diikuti dengan memeriksa barisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Kemboja.

    Baginda Sultan kemudiannya disembahkenalkan kepada Menteri-menteri Kabinet kerajaan Kemboja, diikuti dengan ahli-ahli rombongan delegasi Negara Brunei Darussalam juga disembahkan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Kemboja. Baginda berdua seterusnya berangkat ke Throne Hall bagi Majlis Perjumpaan.

    Semasa Majlis Perjumpaan itu, Baginda Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Kemboja antara lainnya menyentuh mengenai perkara-perkara bagi memperkukuhkan kemajuan dalam hubungan dua hala di antara kedua-dua buah negara, termasuk kerjasama dalam bidang perdagangan, pertahanan dan pertukaran antara rakyat.

    Majlis Santap Negara

    Semasa Keberangkatan Negara itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berangkat menghadiri Majlis Santap Negara yang dihoskan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Kemboja bertempat di Preah Reach Damnak Serei Mongkol, Royal Palace Ground.

    Pada Majlis Santap Negara ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah mengiktiraf langkah-langkah luar biasa yang dicapai dalam pembangunan sosioekonomi Kemboja menjadi bukti kepada kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Kemboja dan komitmen teguh kerajaan Kemboja.

    Semasa menekankan hubungan diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dan Kemboja, yang mana pada tahun ini menandakan ulang tahun ke-30, Baginda mengambil maklum mengenai kerjasama yang baik dalam bidang pendidikan, perdagangan, pertahanan dan pertukaran antara rakyat.

    Di samping itu, hubungan muhibah dan persahabatan yang dinikmati oleh kedua-dua pihak di semua peringkat adalah diasaskan oleh mendiang Raja Norodom Sihanouk.

    Dengan penandatanganan MoU semasa Keberangkatan Negara ini, Baginda percaya kerjasama ini dapat mengesahkan semula komitmen kedua-dua pihak dalam memajukan hubungan dua hala dengan lebih lanjut, dan Baginda seterusnya menggesa agar ia segera dilaksanakan di samping meneroka bidang-bidang kerjasama yang baharu demi manfaat bersama.

    Menyentuh mengenai Sidang-sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan yang diadakan baru-baru ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menzahirkan ucapan tahniah kepada Kemboja atas kejayaannya dalam mempengerusikan ASEAN dan Baginda seterusnya menyuarakan keyakinan usaha-usaha Kemboja pada tahun ini akan menyumbang kepada kedayatahanan yang berpanjangan.

    Baginda juga berterima kasih atas sokongan teguh Kemboja di sepanjang tempoh Negara Brunei Darussalam menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2021.

    Sementara itu, masyarakat global telah berhadapan dengan cabaran-cabaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk kesan-kesan akibat pandemik COVID-19, ketidaktentuan geopolitik dan persaingan antara kuasa-kuasa besar.

    Dalam pada itu, Baginda yakin hubungan di antara Negara Brunei Darussalam dan
    Kemboja akan terus berkembang maju dalam sama-sama mengharungi cabaran.

    Pada mengakhiri titah, Baginda mendoakan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Kemboja serta kerabat diraja sentiasa sihat dan bahagia, serta bagi kemajuan dan kemakmuran yang berterusan untuk Kemboja dan rakyatnya.

    Terdahulu sebelum itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Kemboja, antara lainnya menzahirkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Negara Brunei Darussalam yang membantu rakyat Kemboja dalam sektor-sektor pendidikan, hal ehwal sosial dan kemanusiaan serta pengetahuan teknikal.

    Di samping itu, Baginda juga menekankan bahawa Keberangkatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Kemboja ini mencerminkan hubungan rapat dan persahabatan yang sekian lama terjalin, perpaduan dan kerjasama dua hala yang berterusan di antara kedua-dua buah negara.

    Majlis Santap Negara juga diserikan dengan persembahan kebudayaan khas bagi meraikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berada di Phnom Penh sempena Keberangkatan Negara ke Kemboja.

    Upacara Meletakkan Kalungan Bunga

    Pada aturcara berlainan di sebelah pagi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke dua Upacara Meletakkan Kalungan Bunga secara berasingan yang bertempat di dua tugu peringatan yang berbeza di Phnom Penh.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berangkat ke Monumen Kemerdekaan, di mana keberangkatan Baginda dijunjung oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Per-tahanan Kebangsaan, Kemboja, TYT Samdech Pichey Sena Tea Banh.

    Baginda seterusnya dijunjung meletakkan kalungan bunga ke tugu peringatan tersebut.

    Monumen Kemerdekaan yang telah dibina pada tahun 1958, adalah sebuah tugu peringatan yang mempunyai reka bentuk seperti menara Angkor yang bertujuan bagi memperingati kemerdekaan Kemboja pada tahun 1953 dan didedikasikan bagi mereka yang terkorban dalam mempertahankan negara berkenaan.

    Sejurus selepas itu, Baginda Sultan berangkat ke The Norodom Sihanouk Memorial yang terletak di sebelah timur Monumen Kemerdekaan, di mana Baginda dijunjung oleh TYT Kuy Sophal, Baginda seterusnya dijunjung bagi meletakkan kalungan bunga ke tugu peringatan berkenaan.

    The Norodom Sihanouk Memorial ini didedikasikan bagi pencapaian mendiang Raja Norodom Sihanouk yang memacu kemerdekaan Kemboja pada 9 November 1953.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...