Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Brunei kemuka $5.7b bajet

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Peruntukan belanjawan berjumlah $5.7 bilion bagi Tahun Kewangan 2022/2023 dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa permesyuaratan ke-18 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, kelmarin.

    Dalam pembentangannya itu, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa belanjawan negara berkenaan adalah berdasarkan kepada analisa dan penilaian.

    Ini seperti kemampuan kewangan kerajaan dan keutamaan perbelanjaan kerajaan sebagai asas dalam menyediakan Rang Belanjawan Negara Tahun Kewangan 2022/2023 dan termasuk prospek ekonomi global dan Negara Brunei Darussalam.

    Menurut beliau, pandemik COVID-19 telah mengubah landskap sesebuah ekonomi, termasuk Negara Brunei Darussalam di mana kesannya telah menjejaskan aktiviti-aktiviti sosial dan perekonomian disebabkan sekatan pergerakan yang dilaksanakan.

    “Untuk menangani penularan wabak di negara ini, kerajaan telah mempertingkatkan lagi Program Vaksinasi Kebangsaan yang telah bermula pada 3 April 2021 dan negara juga telah mengisytiharkan Fasa Endemik pada 15 Disember 202.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew. – Gambar oleh Infofoto

    “Dengan Fasa Endemik ini, orang ramai dapat menjalani semula aktiviti-aktiviti harian seperti biasa dengan mengamalkan prosedur operasi standard dan Garis Panduan Fasa Awal Endemik yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” jelasnya.

    Yang Berhormat Dato mengongsikan kedudukan fiskal kerajaan bagi Tahun Kewangan 2020/2021 yang mana kutipan hasil pendapatan kerajaan adalah menurun sebanyak 57.7 peratus kepada $2.05 bilion berbanding tahun kewangan 2019/2020 ($4.85 bilion).

    Manakala itu, perbelanjaan sebenar kerajaan menurun sebanyak 9.9 peratus kepada $5.29 bilion berbanding tahun kewangan 2019/2020 ($5.87 bilion) di mana kerajaan telah merekodkan defisit berjumlah $3.24 bilion bagi tahun kewangan 2020/2021.

    Ini merupakan defisit yang tertinggi sejak negara mengalami defisit pada tahun kewangan 2014/2015 dan sebahagian besarnya disebabkan harga minyak dunia yang berada di paras yang rendah sehingga ada ketikanya berada pada kadar AS$20 setong dan secara purata adalah pada kadar AS$42 setong pada 2020.

    Dalam masa yang sama, jelasnya, pengeluaran minyak mentah dan LNG domestik juga menurun berikutan penangguhan dan kerja-kerja pemulihan yang tidak dirancang ke atas telaga-telaga minyak.

    Beliau seterusnya mengongsikan kedudukan fiskal kerajaan yang telah dikemas kini bagi tahun kewangan 2021/2022 di mana dengan kenaikan harga minyak dunia yang mencecah melebihi AS$90 setong, hasil pendapatan kerajaan bagi tahun kewangan 2021/2022 adalah dikemas kini kepada $4.15 bilion berbanding $2.05 bilion dalam tahun kewangan 2020/2021.

    Manakala itu, perbelanjaan kerajaan bagi tahun kewangan 2021/2022 adalah diunjurkan meningkat kepada $5.67 bilion berbanding $5.29 bilion dalam tahun kewangan 2020/2021.

    Peningkatan ini sebahagian besarnya disebabkan komitmen perbelanjaan kerajaan dari Ogos 2021 berikutan gelombang kedua wabak COVID-19.

    Beliau seterusnya mengongsikan, kerajaan setakat 24 Februari 2022 telah membelanjakan sejumlah $138.5 juta bagi membiayai antaranya meningkatkan kapasiti ujian makmal SARSCoV-2 kepada 8,000 ujian sehari, di mana Brunei COVID-19 AirLab telah mula beroperasi sejak 19 Ogos 2021, selain pemberian elaun kepada barisan hadapan, pembelian vaksin termasuk melalui COVID-19 Global Vaccine Access Facility ataupun COVAX dan lainnya.

    Katanya lagi, berasaskan kepada anggaran kutipan hasil dan perbelanjaan yang dikongsikan itu, kerajaan dijangka akan merekodkan defisit belanjawan sebanyak $1.52 bilion dalam tahun kewangan 2021/2022 berbanding $3.24 bilion dalam tahun kewangan 2020/2021.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...