Brunei kesan tujuh varian Omicron

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 DIS – Sejak 22 November 2021, Kementerian Kesihatan telah mempunyai keupayaan sendiri untuk melaksanakan gene sequencing terhadap kes-kes positif yang dikesan di Negara Brunei Darussalam ini iaitu satu kaedah makmal yang dilakukan untuk mengenal pasti varian SARS-CoV-2 yang ada di negara ini.

Setakat kelmarin, gene sequencing telah dilakukan terhadap 252 sampel yang mana 244 daripadanya didapati adalah varian Delta manakala lapan sampel adalah varian Omicron termasuk tujuh kes varian Omicron yang baru disahkan hari ini.

Demikian telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

“Setakat ini, semua kes varian Omicron yang dikesan di negara ini adalah kes-kes yang diimport dari luar negara manakala kes-kes varian Delta adalah terdiri daripada kes-kes tempatan dan luar negara,” jelas Yang Berhormat Dato.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan kepada orang ramai agar tidak cemas dengan pengesanan kes-kes varian Omicron di negara ini.Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, langkah-langkah pencegahan dan pengawalan bagi apa jua varian-varian COVID-19 adalah sama.

“Oleh itu, teruslah mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan, amalkan penjarakan fizikal dan elakkan daripada pergi ke tempat-tempat yang sesak,” tambah beliau.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menasihatkan bahawa apa yang penting ialah bagi sesiapa yang telah melengkapkan dua dos vaksin untuk mendapatkan suntikan dos ketiga atau dos penggalak sebaik saja layak menerimanya iaitu tiga bulan selepas dos kedua diperoleh.

“Kajian saintifik mendapati pemberian dos ketiga atau dos penggalak mampu meningkatkan daya tahan atau imuniti badan terhadap jangkitan COVID-19, termasuk varian Omicron,” jelas Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa mengongsikan mengenai hasil sampel yang dibuat oleh pihak Kementerian Kesihatan pada sidang media tersebut, kelmarin.