Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Brunei kini dalam gelombang ketiga

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Negara Brunei Darussalam ketika ini melalui gelombang ketiga penularan COVID-19 dan jumlah kes semasa gelombang ini dijangka akan meningkat melebihi jumlah yang dilaporkan semasa gelombang kedua.

    Walau bagaimanapun, jumlah kes dalam kategori 4 dan 5 semasa gelombang ketiga dijangka akan terus berada di tahap yang rendah dan tidak melebihi jumlah semasa gelombang kedua.

    Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Yang Berhormat Dato menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu panik dan kita harus terus bersedia menghadapi peningkatan kes-kes varian Omicron yang sememangnya telah dijangkakan.

    Semasa sidang media itu juga, Yang Berhormat Menteri Kesihatan memaklumkan bahawa hasil ujian gene sequencing yang dijalankan terhadap sampel-sampel daripada 704 kes positif yang dikesan di Negara Brunei Darussalam setakat kelmarin, sebanyak 545 telah disahkan varian Delta manakala itu, 159 adalah varian Omicron.

    Kes varian Omicron berkenaan termasuk 93 kes import dan 66 kes tempatan.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa mengongsikan perkembangan terkini situasi jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, kelmarin.

    Ini menunjukkan bahawa varian Omicron didapati sedang menggantikan varian Delta sebagai varian utama atau varian dominan di negara ini.

    Jelasnya lagi, kesemua kes varian Omicron yang dikesan di Negara Brunei Darussalam hanya mempunyai simptom-simptom yang ringan atau tidak mengalami sebarang simptom sama sekali.

    Setakat ini, tidak ada kes varian Omicron di negara ini telah dikategorikan dalam kategori 4 atau 5 iaitu memerlukan bantuan oksigen dan rawatan intensif.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya menekankan bahawa orang ramai perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan serta mengamalkan tanggungjawab sosial masing-masing.

    Ini, ujar beliau, termasuklah mendapatkan dos ketiga vaksin COVID-19 serta galakkan ahli keluarga dan orang-orang di keliling untuk mendapatkannya, menggunakan pelitup muka yang bersesuaian apabila keluar dari rumah atau mengelilingi orang lain, mengamalkan penjarakan fizikal, mengamalkan kebersihan diri setiap masa, melakukan ujian ART secara berkala, memastikan ruang dalaman mempunyai pengudaraan yang baik dan menggunakan aplikasi BruHealth semasa memasuki premis.

    Selain itu, orang ramai juga perlu melaporkan status kesihatan, teranah di rumah jika tidak berasa sihat dan dapatkan rawatan jika mengalami simptom serupa flu dan jika disahkan positif COVID-19, patuhi protokol kesihatan yang ditetapkan untuk menguruskan jangkitan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...