Brunei kini dalam musim barat daya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada dalam bulan pertama musim barat daya yang lazimnya keadaan atmosferanya agak stabil dan aktiviti kejadian ribut petir berkurangan, berterusan sehingga bulan September.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam kelmarin, kemuncak musim ini adalah sekitar bulan Ogos, dengan negara kebiasaannya mengalami keadaan berjerebu disebabkan cuaca kering di rantau Asia Tenggara.

Jabatan turut menjelaskan bahawa satu sistem tekanan rendah yang menjadi ribut tropika dikenali sebagai Ribut Tropika Nuri dikesan kelmarin pada jam 2 petang, pada koordinat 19.6°N 115.0°E, di kawasan Tenggara Hong Kong, sekitar 1,600km jauh dari Negara Brunei Darussalam.

Ia dijangka bergerak ke arah barat laut menjauhi negara ini namun tidak akan menjejaskan keadaan cuaca di sini.

Secara amnya, cuaca dijangka sebahagiannya berawan dalam beberapa hari akan datang dan hujan berpetir setempat masih berpotensi berlaku di beberapa tempat. Sementara itu, keadaan laut di perairan Brunei dijangka akan mencapai paras sederhana hingga 1.2 meter sepanjang minggu ini.

Sehubungan itu, jabatan menasihatkan orang ramai mengambil perhatian risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir.

Manakala para pemandu jalan raya dan pelaut disarankan sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat cuaca terkini boleh dilayari di laman www.met.gov.bn dan aplikasi bimbit Brunei WX serta menghubungi talian cuaca 114.