Brunei komited beri liputan kesihatan menyeluruh

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Komitmen kerajaan Negara Brunei Darussalam ke arah penjagaan kesihatan asasi di negara ini dan Liputan Kesihatan Sejagat dapat dilihat melalui pencapaian negara dalam Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) 2015.

Negara juga sudah berjaya memenuhi beberapa sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 termasuk nisbah kematian ibu telah menunjukkan penurunan yang ketara sejak tahun 1960an sehingga sekarang dan kadar kematian di bawah lima tahun juga telah dapat dikurangkan ke dalam sasaran SDG.

Di samping itu, negara mencapai liputan imunisasi yang melebihi sasaran SDG iaitu lebih 95 peratus kanak-kanak di bawah umur lima tahun telah diimunisasi setiap tahun.

Negara Brunei Darussalam juga telah diisytiharkan bebas-malaria oleh WHO pada tahun 1987, bebas-Polio pada tahun 2000, Bebas-Measles pada 2015 dan bebas Rubella pada bulan November 2018.

Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar) dalam perutusannya sempena Hari Kesihatan Sedunia 2021 yang membawa tema ‘Membangun Dunia yang Lebih Adil dan Sihat’.

Beliau berkata, penjagaan kesihatan asasi yang mantap dan teratur juga terbukti kos efektif dan saksama dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan berkualiti, dan telah membantu banyak negara dalam mencapai kemajuan ke arah Liputan Kesihatan Sejagat di negara masing-masing.

Oleh yang demikian, kefahaman yang mendalam mengenai Liputan Kesihatan Sejagat juga adalah sangat penting dalam membuat perangkaan dasar-dasar negara bagi memastikan Negara Brunei Darussalam akan dapat terus maju ke arah memastikan dan mengekalkan liputan kesihatan sejagat.

Beliau menekankan, dalam mencapai impian ke arah kesihatan untuk semua satu realiti, kerjasama dari semua pihak adalah sangat diperlukan.

“Kita memerlukan individu dan masyarakat yang mendapat akses kepada perkhidmatan untuk bertanggungjawab dalam menjaga kesihatan mereka mahupun ahli keluarga mereka; ahli profesional dan pekerja kesihatan yang mempunyai kemahiran untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti bersandarkan pada keperluan khusus masyarakat masing-masing atau peoplecentred care; dan para perangka dasar untuk lebih bijak dan komited dalam melaburkan perbelanjaan dalam pemberian penjagaan kesihatan asasi,” tambah beliau.

Beliau turut melahirkan harapan agar sambutan Hari Kesihatan Sedunia pada tahun ini akan dapat dijadikan sebagai satu landasan kepada semua sebagai rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk lebih menghargai kesihatan diri sendiri dan tidak mensia-siakan kemudahan-kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Para profesional dan pekerja-pekerja kesihatan juga memainkan peranan yang penting dalam sama-sama bersedia untuk mendidik para pesakit tentang cara-cara menjaga kesihatan, menyelaras penjagaan dan menyokong keperluan pesakit mereka.

Hubungan profesional yang baik dapat dimanfaatkan melalui pemberian pendidikan pesakit secara berterusan dan konsisten dengan setiap pesakit, tambah beliau.