Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Sept – Negara Brunei Darussalam amat komited dalam usaha pemuliharaan alam sekitar di mana negara meletakkan alam sekitar sebagai sebahagian dasar negara dan sejak Mesyuarat Menteri-menteri Alam Sekitar ASEAN ke-13 di Vietnam pada 2015, Brunei telah melaksanakan beberapa langkah dan inisiatif strategik untuk menangani isu-isu dan cabaran alam sekitar negara.
Menerusi inisiatif yang dilaksanakan, terdapat perkembangan positif dalam perlindungan dan kesedaran alam sekitar di Brunei menerusi pelbagai kerjasama antara sektor kerajaan, swasta dan komuniti belia khususnya dalam inisiatif pengurangan sisa seperti inisiatif Hujung Minggu Tanpa Beg Plastik.
Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bin Haji Ghafar berkata, inisiatif Hujung Minggu Tanpa Beg Plastik mempromosikan penggunaan beg mesra alam dan boleh digunakan semula sebagai salah satu cara untuk mengurangkan penggunaan dan pembuangan beg-beg plastik di kawasan tapak pelupusan sampah.
“Inisiatif itu melibatkan kerjasama beberapa buah gedung membeli-belah yang besar sebagai pemain utama bagi memberi kesan perubahan di mana inisiatif itu diadakan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad serta dalam peringkat perancangan untuk menambahkan hari-hari lain.
“Di samping itu, cukai eksais bagi produk-produk plastik yang dinaikkan sebanyak 3 peratus oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja pada 1 April 2017, sebagai pelengkap kepada usaha negara untuk mengurangkan jumlah plastik yang dibuang ke tapak pelupusan sampah,” katanya semasa berucap pada Mesyuarat Menteri-menteri Alam Sekitar ASEAN (AMME) ke-14 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.


Beliau yang juga selaku ketua delegasi negara ke mesyuarat tersebut berkata, menerusi Program Belia Alam Sekitar Brunei, ia merupakan platform untuk mempercepatkan pembangunan dan perkembangan pendidikan alam sekitar, kegiatan untuk mengurangkan, menggunakan semula dan mengitar semula bahan-bahan buangan yang dilaksanakan berterusan di kalangan para pelajar di peringkat rendah dan menengah.
Beliau menerangkan bahawa Brunei telah mencapai sasaran kadar kitar semula 10 peratus pada 2015 dan pada masa ini, membuat sasaran untuk mencapai kadar kitar semula sebanyak 15 peratus menjelang 2020.
Pada masa yang sama, beliau berkata bahawa Brunei merupakan negara peneraju bagi Kumpulan Kerja ASEAN bagi Pendidikan Alam Sekitar bagi tempoh 2016 hingga 2019 dan sebagai sebahagian sokongan serantau, untuk mempromosikan pembangunan mapan melalui pendidikan alam sekitar dan penglibatan orang ramai, negara sedang berusaha secara aktif dengan negara-negara anggota ASEAN yang lain untuk membangunkan beberapa inisiatif dan pelan tindakan terutama kegiatan-kegiatan yang boleh dilaksanakan di bawah Pelan Tindakan Pendidikan Alam Sekitar ASEAN (AEEAP).
Dato Seri Paduka Haji Suhaimi juga berkata, walaupun Brunei hanya menyumbang jumlah yang amat kecil kepada emisi rumah hijau global iaitu 0.016 peratus, negara terus bersedia untuk memainkan peranan dalam memberikan sokongan kepada usaha global dalam menangani perubahan iklim.
Beliau juga menyatakan bahawa Brunei telah mengajukan Intended Nationally Determined Contributions (INDCs) Brunei sebagai sebahagian komitmen negara kepada komuniti global di mana dasar serta tindakan dalam INDCs negara itu adalah selaras dengan keutamaan pembangunan dan keadaan negara.
“Ia termasuk dasar dan tindakan yang ditujukan ke arah mengurangkan emisi gas rumah hijau dan membangunkan daya tahan terhadap impak buruk perubahan iklim,” ulasnya lagi.
Beliau turut menyatakan bahawa Brunei mempunyai aspirasi untuk menyediakan rakyat dan penduduknya dengan kualiti kehidupan tinggi di mana meningkatkan daya tahan iklim serta mampu untuk menyesuaikan diri kepada perubahan iklim memainkan peranan utama ke arah aspirasi itu.
Dalam hubungan itu, INDCS Brunei merangkumi dasar dan tindakan untuk melindungi biodiversiti ekosistem negara, mengurangkan banjir dan menjaga kawasan pantai daripada hakisan.
Di samping itu, walaupun liputan hutan negara yang dilindungi meliputi kira-kira separuh dari kawasan negara tetapi Brunei merancang untuk meningkatkan lagi liputan hutannya sebanyak 14 peratus lagi.
Mengulas mengenai AMME ke-14, Dato Seri Paduka Haji Suhaimi berkata, mesyuarat itu menandakan satu mercu tanda yang penting bagi negara-negara anggota ASEAN kerana mereka akan mengadakan Hari Alam Sekitar ASEAN yang akan merangkumi Majlis Anugerah ESC ASEAN ke-4 di mana Brunei telah mencalonkan Bandar Seri Begawan bagi anugerah berkenaan pada 2017.
Beliau menjelaskan bahawa Bandar Seri Begawan memang dikenali sebagai sebuah bandar yang mempunyai pemandangan indah dan udara bersih serta inisiatif untuk menghidupkan lagi ibu negara itu dan menjadikannya lebih dinamik dan terkenal iaitu inisiatif Bandarku Ceria telah diperkenalkan pada 2016 lalu.
Ia merupakan program berterusan yang melaksanakan Hari Ahad Bebas Kereta di mana beberapa batang jalan di ibu negara ditutup bermula 6 pagi hingga 10 pagi di mana penutupan jalan itu bermatlamat untuk memudahkan orang ramai berkunjung ke ibu negara untuk bersenam atau beriadah bersama keluarga, menanamkan gaya hidup yang sihat serta menggalakkan peniaga kecil menjalankan perniagaan mereka dan mempromosikan budaya keusahawanan.
Beliau berkata, Negara Brunei Darussalam komited dalam menyertai Anugerah Bandar Raya Alam Sekitar Mapan ASEAN sebagai usaha negara ke arah kawasan bandar dan bandar raya di ASEAN yang mapan alam sekitar.
Mesyuarat AMME ke-14 yang dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah itu dihadiri oleh lebih 100 orang ahli delegasi dari negara-negara anggota ASEAN dan wakil Sekretariat ASEAN di mana ia memberikan peluang kepada para menteri yang bersidang untuk memberikan tumpuan kepada usaha bersepadu negara-negara anggota ASEAN dalam pemuliharaan, pengurusan dan perlindungan alam sekitar.