Brunei komited pulihara hutan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof (gambar) mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai wakil pengerusi ASEAN 2021 ke Acara Penggunaan Tanah dan Hutan (FLU) Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin Dunia (WLS) yang berlangsung pada 2 November.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Haji Azhar bin Haji Yahya selaku pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Perubahan Iklim Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Perubahan Iklim Brunei, di sini, Sesi Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Perubahan Iklim ke-26 (CAP 26) telah dibuka pada 31 Oktober lalu dan berlangsung selama dua minggu, di Glasgow, United Kingdom (UK).

Kenyataan menyatakan lagi bahawa UK selaku hos dan presiden CAP 26 merasmikan acara berkenaan dengan mengadakan WLS selama dua hari yang dihadiri oleh lebih 120 orang pemimpin dari seluruh dunia.

Sebagai sebahagian daripada sidang kemuncak berkenaan, Acara FLU yang diadakan pada 2 November, bermatlamat untuk mengesahkan semua komitmen kolektif untuk memulihara hutan dan menentang penebangan hutan.

Kenyataan menyatakan bahawa acara itu dibuka dengan ulasan daripada Perdana Menteri UK, Boris Johnson; Presiden Colombia, Ivan Duque Marquez dan Presiden Joko Widodo di mana berkenan berangkat ke acara berkenaan ialah Putera Charles, The Prince of Wales.

Pada acara WLS FLU, lebih 110 buah negara telah menyokong Deklarasi Pemimpin-pemimpin Glasgow bagi Penggunaan Tanah dan Hutan termasuk Negara Brunei Darussalam.

Kenyataan menerangkan bahawa dengan menyokong deklarasi berkenaan, Negara Brunei Darussalam menyertai bersama negara-negara lain dalam usaha, antara lain, untuk memulihara hutan dan ekosistem-ekosistem darat yang lain, memudahkan perdagangan dan pembangunan dasar yang tidak akan memacu penebangan hutan dan kemerosotan tanah, mengurangkan pendedahan, membina daya tahan dan meningkatkan mata pencarian luar bandar, melaksanakan pertanian mampan serta mempercepatkan peralihan kepada sebuah ekonomi yang berdaya tahan dan memajukan hutan, penggunaan tanah mampan, biodiversiti dan matlamat iklim.

Kenyataan menyatakan, Negara Brunei Darussalam mempunyai liputan hutan kira-kira 72 peratus dengan kapasiti untuk meresap kira-kira 13.9mtCO2e pelepasan karbon setiap tahun.

Negara Brunei Darussalam akan terus memulihara hutan hujan aslinya dengan meningkatkan hutan simpanan daripada 41 peratus kepada 55 peratus keluasan tanah keseluruhan serta berusaha untuk meningkatkan lagi carbon sink negara menerusi penanaman 500,000 pohon pokok baharu menjelang 2035.