Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Brunei komited tangani cabaran sumber air

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar dalam ucapannya semasa menghadiri Sidang Kemuncak Air Asia Pasifik ke-4, mengongsikan mengenai komitmen dan sokongan Negara Brunei Darussalam terhadap usaha-usaha dalam menangani cabaran sumber air menerusi perkongsian maklumat, penyelarasan dan kerjasama antara negara-negara ahli, khusus dalam meneroka pelan tindakan masa panjang bagi menghadapi cabaran-cabaran masa hadapan.

    Dalam ucapannya lagi semasa sidang kemuncak yang berlangsung di Kumamoto, Jepun, Yang Berhormat Dato juga mengongsikan secara ringkas dasar-dasar, perundangan serta tindakan yang telah dan akan dilaksanakan oleh Brunei dalam menangani isu pengurusan sekuriti air, kekurangan air dan perubahan iklim, yang merangkumi pembangunan sumber dan bekalan air yang mana negara setakat ini telah dan masih mengekalkan bekalan 100 peratus air bersih kepada rakyat dan penduduknya.

    Beliau juga telah mengongsi Rangka Kerja Sekuriti Air Brunei Darussalam 2021-2035, yang telah diterbitkan pada Oktober 2021, menumpukan kepada empat strategi utama untuk diguna pakai bagi meningkatkan keteguhan bekalan air secara menyeluruh merangkumi pengurusan bekalan air, sumber dan pengeluaran air, kecekapan sistem rangkaian air serta kualiti dan urus tadbir air.

    Yang Berhormat Dato dalam ucapannya juga menekankan usaha Brunei dalam pembangunan dan pemeliharaan takungan simpanan air yang merangkumi inisiatif dasar dan program, urus tadbir, pengurusan permintaan serta penguatkuasaan bagi menangani isu berkaitan pencemaran air dan pembangunan tidak terkawal yang boleh memberikan impak negatif kepada sumber air.

    Penekanan juga diketengahkan pada usaha-usaha kerajaan dalam peningkatan penggunaan teknologi, inisiatif dana serta kerjasama swasta awam.

    Beliau turut menekankan sokongan dan komitmen negara terhadap Deklarasi Kumamoto yang telah diterima pakai oleh negara-negara ahli semasa sidang kemuncak berkenaan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan, di sini, Brunei menerusi Kementerian Pembangunan dan Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Tokyo, Jepun telah menghadiri Sidang Kemuncak Air Asia Pasifik ke-4 yang berlangsung di Bandar Kumamoto, Kumamoto, Jepun selama dua hari hingga hari ini.

    Sidang kemuncak itu adalah anjuran bersama antara kerajaan Jepun dan Forum Air Asia Pasifik (APWF) serta Bandar Kumamoto di mana ia merangkumi beberapa acara tertentu yang dimulakan dengan upacara pembukaan rasmi dan mesyuarat peringkat kemuncak serta sesi kenyataan peringkat tertinggi kelmarin.

    Acara seterusnya merangkumi beberapa sesi bertema selari, simposium dan pameran yang diadakan sehingga hari ini yang antara lainnya menyentuh tajuk-tajuk berkaitan dengan pengurusan sumber air khusus dalam bidang pembiayaan, urus tadbir serta perkembangan sains dan teknologi.

    Mesyuarat peringkat kemuncak serta sesi kenyataan peringkat tertinggi telah dihadiri oleh ketua-ketua negara ahli, kerajaan, menteri-menteri dan pegawai-pegawai kanan Asia Pasifik.

    Kenyataan menyatakan bahawa mewakili kerajaan Brunei ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi dan disertai oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Jepun, Tuan Yang Terutama Haji Shahbudin bin Haji Musa; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak serta pegawai-pegawai kanan lainnya.

    Sidang kemuncak berkenaan membawa tema Water for Sustainable Development-Best Practices and the Next Generation, di mana ia bertujuan sebagai wadah bagi setiap negara ahli dan pihak yang berkepentingan dalam mengongsi pendekatan dan amalan kepada ketua-ketua negara dan kerajaan serta untuk mendukung apa jua ketetapan dasar dalam mempercepatkan tindakan dalam menuju ke arah masyarakat yang berdaya tahan dan inklusif dengan cara menangani isu-isu berkaitan air, khususnya semasa tempoh pemulihan pandemik COVID-19 serantau.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...