Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Brunei kongsi komitmen tangani perubahan iklim

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Negara Brunei Darussalam berpeluang mengongsikan komitmen negara di peringkat antarabangsa dengan penyertaan pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sesi ke-27 (COP 27) yang berlangsung di Sharm El-Sheikh, Republik Arab Mesir dari 6 hingga 18 November.

    Semasa persidangan itu, Negara Brunei Darussalam telah mengongsikan kenyataan kebangsaan dan Kenyataan Bersama ASEAN sebagai Pengerusi ASEAN 2021, mengenai Perubahan Iklim pada COP 26 di United Kingdom tahun lalu.

    Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku ahli Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam menyampaikan kenyataan Negara Brunei Darussalam bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa High Level Segment pada 15 November lalu.

    Kenyataan kebangsaan tersebut termasuk pelancaran Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam melalui 10 strategi utama, penyampaian Nationally Determined Contributions (NDC) bagi pengurangan sebanyak 20 peratus dalam pelepasan gas rumah hijau negara menjelang 2030 dan peningkatan hasrat iklim melalui peralihan tenaga dan pemeliharaan hutan menuju ke arah Sifar Bersih (Net Zero) menjelang 2050.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri (JPM), pada tahun ini, COP 27 memfokuskan kepada kerjasama perubahan iklim yang lebih inklusif berasaskan peraturan substantif selaras dengan sains dan teknologi terkini.

    Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan semasa menghadiri COP27 di Mesir. – Gambar serahan JPM

    Republik Mesir selaku Tuan Rumah dan Presiden COP 27 berazam untuk mempercepatkan tindakan iklim global melalui pengurangan pelepasan, peningkatan usaha adaptasi dan peningkatan aliran kewangan yang disesuaikan bagi tindakan pemulihan bagi kerosakan yang disebabkan oleh impak perubahan iklim global.

    Sementara itu, antara inisiatif yang diambil oleh Negara Brunei Darussalam yang dikongsikan semasa persidangan itu termasuk pelancaran Direktif Laporan Mandatori pada penghujung 2022 di mana semua pihak yang berkepentingan perlu melaporkan pelepasan gas rumah hijau masing-masing kepada Sekretariat Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.

    Direktif itu dihasratkan menjadi asas dalam meningkatkan keberkesanan jangka panjang dalam pengurangan pelepasan gas rumah hijau negara.

    Antara inisiatif di peringkat ASEAN pula adalah penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN (ACCC) yang berpusat di Brunei.

    Pusat tersebut dirancang untuk berfungsi sebagai badan pemikir, hab pengetahuan, penyelaras strategik dan penyepadu inisiatif dan aktiviti tindakan iklim di rantau ASEAN.

    Selain itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) juga memberi sokongan kepada Brunei Darussalam dan Filipina selaku Ketua Bersama dalam membangun Rangka Kerja bagi Strategi Kewangan Iklim ASEAN.

    Projek berkenaan melibatkan pewujudan platform dan rangka kerja bagi memudahkan akses kewangan bagi negara-negara membangun berasaskan keperluan (NBF) bagi pembiayaan projek-projek mitigasi dan kedayatahanan iklim.

    Dalam pada itu, Negara Brunei Darussalam turut berpeluang menyampaikan pencapaian dan tindakan perubahan iklim dalam kenyataan kebangsaan semasa persidangan tersebut.

    Turut menyertai persidangan bagi mewakili negara ialah Setiausaha Tetap (Wawasan) di JPM, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad; dan Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM, Haji Azhar bin Haji Yahya, juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...