Brunei kongsi usaha lindungi alam sekitar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar telah menghadiri Forum Menteri-menteri dan Pihak Berkuasa Alam Sekitar Asia Pasifik ke-4 yang berlangsung selama tiga hari hingga hari ini secara dalam talian.

Pada forum berkenaan, Yang Berhormat Dato memaklumkan bahawa Negara Brunei Darussalam sebagai pengerusi ASEAN bagi 2021 berkongsi secara ringkas mengenai dasar dan perundangan yang bertujuan melin-dungi alam sekitar dan sumber semula jadi daripada pencemaran dan kesan perubahan iklim yang merangkumi Dasar Perubahan Iklim Nasional Brunei yang diperkembangkan untuk membuka jalan bagi menuju ke arah negara yang rendah karbon dan tahan iklim bagi masa depan.

Yang Berhormat Dato juga telah berkongsi mengenai Protokol Hijau Brunei Darussalam yang dilancarkan pada Januari 2021 yang memastikan pelaksanaan garis panduan yang bertujuan untuk mengurangkan jejak karbon dari tujuh kategori utama iaitu penggunaan tenaga, penggunaan air, penggunaan kertas, penggunaan plastik, pelupusan sisa pepejal, pengurusan acara rasmi dan inisiatif penanaman pokok.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan, di sini, hari ini, forum itu telah dianjurkan oleh Kementerian Alam Sekitar, Republik Korea, dan United Nation Environment Programme (UNEP) dan ia bermula dengan sesi Perbincangan Meja Bulat Pegawai-pegawai Kanan Mengenai Mengukuhkan Kerjasama Korea mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di Asia Tenggara pada 5 Oktober lalu dan diikuti dengan Mesyuarat Segmen Pegawai-pegawai Kanan Forum Menteri-menteri dan Pihak Berkuasa Alam Sekitar Asia Pasifik ke-4 semalam.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa Forum Peringkat Tinggi telah dihadiri oleh para menteri dan pegawai kanan dari lebih dari 41 buah negara Asia Pasifik yang bertanggungjawab dalam pengurusan hal ehwal alam sekitar dan perubahan iklim.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi ketika menghadiri forum yang berlangsung melalui platform maya itu. – Gambar serahan Kementerian Pembangunan

Rombongan Negara Brunei Darussalam telah diketuai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi dan disertai oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dan pegawai kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe).

Dalam kenyataan penutupnya, Yang Berhormat Dato telah menekankan bahawa forum itu berfungsi sebagai platform penting bagi negara-negara Asia Pasifik untuk membangun kembali dan mengkoordinasi usaha-usaha kerjasama bagi mewujudkan persekitaran dan iklim yang lestari dan berdaya tahan.

Menurut kenyataan itu, perbincangan meja bulat dan mesyuarat pegawai-pegawai kanan, Dr Nor Imtihan telah mengongsi mengenai usaha utama Negara Brunei Darussalam.

Beliau juga memaklumkan mengenai usaha negara dalam memperkuat langkah-langkah dasar, tindakan strategik, mekanisme kerjasama serta tindakan dalam memajukan perlindungan alam sekitar dan menangani masalah perubahan iklim.

Sorotan eksklusif juga telah disampaikan mengenai usaha negara teladan mengenai ekonomi pekeliling, kerjasama dua hala mengenai isu-isu seperti ekonomi pekeliling, sisa laut dan udara, Dasar Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan komitmen negara
terhadap Nature Based Solutions.

Forum ke-4 itu telah dianjurkan sebagai platform bagi negara-negara Asia Pasifik untuk berkongsi perspektif rantau untuk sesi kelima United Nations Environment Assembly (UNEA-5.2) yang akan diadakan pada 28 Februari hingga 2 Mac 2022 dan juga semasa Special Session of the United Nations Environment Assembly untuk memperingati ulang tahun ke-50 UNEP yang akan diadakan pada 3 dan 4 Mac 2022 di Nairobi, Kenya.