Saturday, April 20, 2024
25 C
Brunei

    -

    Brunei, Laos promosi kerjasama ekonomi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Negara Brunei Darus-salam dan Republik Demokratik Rakyat Laos komited untuk meneroka peluang-peluang dalam mempromosikan pertukaran dan kerjasama dalam bidang-bidang perdagangan, pelaburan dan ekonomi di mana usaha itu akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kedua-dua buah negara.

    Sehubungan itu, Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Brunei Darussalam (NCCIBD) dan Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Laos (LNCCI) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada majlis penandatanganan di antara NCCIBD dan LNCCI yang berlangsung di The Empire Brunei, Jerudong, hari ini.

    Penandatanganan MoU itu disempurnakan oleh Presiden NCCIBD, Haji Abdul Saman bin Haji Ahmad dan Presiden LNCCI, Oudet Souvannavong dengan disaksikan oleh Menteri Perancangan dan Pelaburan, Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Khamjane Vongposy serta ahli-ahli NCCIBD dan LNCCI.

    Terdahulu dalam kata alu-aluannya, Haji Abdul Saman berkata, kedua-dua dewan perniagaan dan industri telah mengadakan perbincangan dua hala bagi hala tuju ke hadapan dalam mencapai pelaksanaan isi kandungan MoU berkenaan.

    Beliau menerangkan kedua-dua dewan perniagaan dan industri telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa pandu atau pasukan petugas untuk mengenal pasti pelbagai industri dan sektor keutamaan di mana jawatankuasa berkenaan akan diterajui oleh presiden kedua-dua dewan perniagaan dan industri.

    Sementara itu, Oudet Souvannavong dalam kata alu-aluannya menyatakan pertukaran ekonomi di antara Laos dan Brunei adalah terhad tetapi mempunyai kapasiti untuk ditingkatkan.

    Beliau menambah kedua-dua pihak telah mengenal pasti beberapa projek kerjasama pelaburan dan perdagangan yang boleh diterokai bersama dalam bidang tenaga, pertanian, pelancongan, ilmu pengetahuan pembangunan sumber manusia dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana.

    Projek-projek terdekat yang akan diterokai akan dilaksanakan berdasarkan memorandum persefahaman kerjasama pertanian dan tenaga yang telah dimeterai oleh kerajaan kedua-dua buah negara pada 25 Oktober lalu.

    Haji Abdul Saman dan Oudet Souvannavong menandatangani MoU pada majlis yang berlangsung di The Empire Brunei, Jerudong, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...