Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Brunei LNG hulur sumbangan bantu komuniti

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 27 JAN – Sebagai sebahagian daripada inisiatif pelaburan sosial untuk menyokong kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menangani COVID-19, Brunei LNG Sdn Bhd telah menyumbang beberapa bekalan Early Endemic Readiness kepada komuniti Mukim Liang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Dewan Kelab Rekreasi Liang Lumut hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib.

    Turut hadir ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Liang, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin; Pengurus Kewangan Brunei LNG, Pengiran Mas Norhazilinah binti Pengiran Momin; Pengurus Sumber Manusia, Harta Tanah dan Fasiliti, Awang Mizan Adiliah bin Haji Mohamad Deli; kakitangan dari Brunei LNG serta wakil daripada komuniti Mukim Liang dan NGO.

    Dalam ucapan pembukaan, Hajah Farida berkata negara amat terkesan oleh gelombang kedua pandemik COVID-19. “Alhamdulillah, dengan kerjasama semua orang dalam melaksanakan tanggungjawab sosial mereka, bulan Disember 2021 telah diumumkan bahawa Brunei kini berada dalam Fasa Awal Endemik.

    “Ia merupakan sebahagian daripada strategi pelaburan sosial Save Futures yang menumpu pada usaha membantu masyarakat. Dengan dunia dan Brunei memasuki fasa endemik, terdapat langkah-langkah keselamatan yang perlu dilaksanakan, termasuk memastikan menjaga kebersihan peribadi, memakai pelitup muka, penyediakan peralatan seperti mesin fogging, pengimbas suhu serta alat saringan seperti kit ujian pantas antigen.”

    Wakil Pusat Ehsan Al-Ameerah menerima sumbangan yang disampaikan oleh Hajah Farida pada majlis berkenaan.
    Pengiran Mas Norhazilinah menyampaikan sumbangan kepada wakil Masjid Zainab pada majlis yang berlangsung di Dewan Kelab Rekreasi Liang Lumut kelmarin.
    Awang Mizan Adiliah menyampaikan sumbangan kepada wakil Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah pada majlis penyampaian sumbangan Brunei LNG.

    Bekalan berupa mesin fogging, pengimbas suhu serta produk pensanitasi dan kebersihan peribadi telah disumbangkan oleh Brunei LNG kepada Masjid Zainab dan Masjid Sungai Liang. Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan Politeknik Brunei, Sekolah Sains dan Kejuruteraan juga menerima pengimbas suhu, pensanitasi dan produk kebersihan peribadi pada acara tersebut.

    Selain itu, beberapa badan bukan kerajaan termasuk Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), SMARTER Brunei, ABLE, KACA dan An-Nur Harapan juga menerima bekalan kit ujian pantas antigen selama tiga bulan.

    “Kami berharap sumbangan akan membantu memudahkan peralihan kepada Fasa Endemik dan kami boleh melaksanakan tanggungjawab kami untuk masyarakat.

    “Bersama kami boleh menambah usaha untuk meneruskan meratakan lengkung penularan di negara kami,” tambah Hajah Farida.

    Setiap wakil daripada komuniti Mukim Liang serta NGO menerima bekalan Early Endemic Readiness dalam bentuk cek contoh yang disampaikan oleh pengurus kewangan Brunei LNG, pengurus sumber manusia, harta tanah dan fasiliiti serta pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif Brunei LNG.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...