Oleh Daniel Lim
BELAIT, 9 FEB – Bagi meraikan ulang tahun ke-50 penubuhannya, Brunei LNG Sdn Bhd telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Zainab di Lumut, Daerah Belait, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw dan Pengurus Kanan Loji Brunei LNG, Haji Mohd Jaafar bin Haji Awang Bakar.
Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Penghulu Mukim Liang, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin; Pengurus Sumber Manusia, Komunikasi dan Hubungan Luar Brunei LNG, Awang Mizan Adiliah bin Haji Mohamad Deli, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pihak pengurusan dan kakitangan serta pesara Brunei LNG, pihak pengurusan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC); perwakilan dari syarikat-syarikat berkaitan dengan gas dan minyak, rakan kongsi serta penduduk Mukim Liang, Lumut.
Seramai 50 orang peserta terdiri daripada kakitangan dan rakan perniagaan Brunei LNG mengambil bahagian dalam acara itu yang bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah diketuai Haji Mohd Jaafar, diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh peserta khatam serta Doa Khatam oleh Kanselor Junior BSP, Awang Muhammad Najmuddin bin Haji Mohd Said.
Majlis diteruskan dengan Dikir Marhaban diikuti tetamu kehormat dan para jemputan khas menaburkan bunga rampai kepada peserta kemudian Doa Selamat, Doa Peliharakan Sultan dan Doa Kesyukuran dibacakan bagi memberkati majlis dipimpin oleh Imam Masjid, Awang Soffian bin Bidin.
Dato Seri Paduka Haji Matsatejo turut menyampaikan sumbangan daripada Brunei LNG berbentuk buku Takhtim dan Surah Yasin kepada masjid yang diterima oleh imam masjid.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat oleh Haji Mohd Jaaftar.






























