Brunei LNG rai jubli emas

Oleh Aziz Idris

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 DIS – Brunei LNG telah meraikan sambutan jubli emasnya di Tokyo, Jepun, baru-baru ini, bersama pembeli-pembeli Jepun iaitu JERA, Tokyo Gas dan Osaka Gas untuk mengeratkan lagi hubungan kukuh yang dibangunkan sepanjang lima dekad antara Brunei LNG dan para pembeli serta kedua-dua buah negara.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengarah Brunei LNG dan wakil kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Turut hadir pada majlis ulang tahun ke-50 itu ialah Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw, perwakilan daripada pihak berkepentingan, pengurusan dan pegawai-pegawai kanan dari Brunei LNG.

Yang Berhormat Dato dalam ucapannya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Shell dan Mitsubishi Corporation kerana menyediakan Brunei dengan bimbingan, teknologi dan paling penting lagi, tenaga kerja dengan kemahiran betul untuk membantu membangunkan loji berkenaan yang menyaksikan titisan pertama LNG pada Oktober 1972.

Brunei LNG telah menghantar kargo pertamanya ke Osaka, Jepun pada tahun sama dan sejak itu telah menghantar sejumlah 267 juta tan LNG kepada semua pelanggannya dengan selamat dan tepat pada masanya.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bergambar bersama perwakilan daripada pihak berkepentingan, pengurusan dan pegawai-pegawai kanan dari Brunei LNG sempena sambutan jubli emas Brunei LNG baru-baru ini.
Para tetamu menikmati hidangan ambuyat yang disediakan oleh Royal Brunei Catering.

Selepas hampir 50 tahun, Brunei LNG telah menghantar hampir 90 peratus LNG yang dihasilkannya ke Jepun.

Beliau juga menyampaikan penghargaannya kepada kerajaan Jepun atas sokongan berterusan mereka dalam memudahkan dan mengekalkan hubungan perniagaan yang kukuh bersama JERA, Tokyo Gas dan Osaka Gas.

Brunei LNG tidak pernah terlepas satu pun kargo dengan operasi selamat dan boleh dipercayai serta perhubungan pelanggan yang bereputasi baik, menyokong pertumbuhan sektor tenaga Jepun.

Industri LNG telah berkembang secara drastik, sebahagian besarnya disebabkan Jepun dan syarikat-syarikat Jepun.

Negara itu terus menjadi pengimport LNG terbesar di dunia pada tahun ini, pemain utama dalam industri perkapalan, pembeli penting yang telah membantu menguatkan perkembangan LNG di seluruh dunia dan rakan penting bagi pembangunan pasaran-pasaran baharu LNG.

Yang Berhormat Dato mengakhiri ucapannya dengan mengucapkan tahniah kepada Brunei LNG atas pencapaian 50 tahun berkenaan sambil menambah, “Sementara Brunei bergerak ke arah Wawasan Brunei 2035, saya yakin bahawa anda akan terus membuat yang terbaik dalam memberikan komitmen kepada pihak-pihak berkepentingan dan negara bagi lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.”

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Patrice Girard meluahkan penghargaannya kepada tiga pembeli Jepun berkenaan, menganggap kejayaan Brunei LNG sepanjang 50 tahun adalah atas sokongan besar yang diterima syarikat berkenaan daripada pasukan komersial, operasi dan terminal di pihak pembeli, ejen-ejen mereka, ejen-ejen perkapalan, pembekal marin dan juruukur.

Apabila Brunei LNG ditubuhkan pada 1969, ia membuat sejarah sebagai syarikat pertama di Pasifik Barat yang memulakan pencecairan gas asli, menyumbang kepada menjadikan LNG sebagai sumber tenaga global.

Sementara ia mencapai usia 50 tahun, Brunei LNG terus berpegang teguh dengan wawasan untuk menjadi pembekal LNG terkemuka dan kompetitif. Misi Brunei LNG adalah untuk menjadi pemimpin yang diiktiraf dalam kecemerlangan keselamatan, integriti perniagaan, pengeluaran dan komersial serta untuk membawakan nilai bagi Brunei Darussalam dan pihak berkepentingan dengan menghasilkan LNG dengan selamat dan menghantarnya kepada pelanggan tepat pada masanya.

Selain itu, untuk menyumbang kepada pembangunan negara dengan mengembangkan rakyatnya menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi, bermotivasi, cemerlang dan bersemangat serta mengembangkan dan memapankan perniagaan selaras dengan aspirasi negara.

Untuk meraikan pencapaian bersejarah itu, sejarah dan kebudayaan kedua-dua buah negara telah diketengahkan menerusi persembahan-persembahan kebudayaan dan hidangan tempatan.

Majlis sambutan berkenaan telah dimulakan dengan persembahan dram Jepun, lebih dikenali sebagai Wadaiko, dan jemputan juga dihiburkan dengan persembahan silat oleh tiga orang ahli Persekutuan Pencak Silat Brunei Darussalam.

Hidangan tradisi kedua-dua buah negara juga disajikan pada majlis itu, dengan hidangan Brunei termasuk ambuyat, sate dengan kuah kacang, wajid Temburong dan sebagainya yang disediakan oleh Royal Brunei Catering.