Oleh Daniel Lim
KUALA BELAIT, 28 Mac – Bagi menyambut pencapaian penting Brunei LNG Sdn Bhd, satu majlis perasmian logo ulang tahun ke-50 telah diadakan baru-baru di Atrium Utama, Pejabat Brunei LNG, di Lumut.
Dengan slogan, ‘Growing Brunei with Our People,’ majlis turut menyaksikan syarikat tersebut merasmikan tema iaitu ‘Brunei LNG Golden’ (BLNGolden) bagi menyambut jubli emas syarikat tersebut sejak penubuhannya dalam majlis yang gilang gemilang.
Hadir bagi menyaksikan majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Patrice Girard, ketua-ketua jabatan serta kakitangan Brunei LNG.
Pengurus Tenaga Manusia, Komunikasi dan Hal Ehwal Luar Brunei LNG, Dayang Rafidah binti Rambli dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, cut-out #BLNGolden disertakan dengan pelancaran rasmi Brunei LNG di media sosial, secara khususnya Instagram menunjukkan usaha berterusan syarikat dalam meningkatkan penjenamaan dan pendedahan yang mana ia boleh memberikan kefahaman yang lebih baik kepada orang awam mengenai operasi Brunei LNG dan sumbangannya kepada negara.
Sementara itu, Patrice Girard dalam ucapannya menjelaskan dengan bermatlamat untuk menjadi peneraju yang diiktiraf kecemerlangan dalam keselamatan, integriti perniagaan, pengeluaran dan komersial, Brunei LNG secara berterusan menyumbang nilai untuk Brunei Darussalam dan pihak-pihak berkepentingan dengan penghasilan LNG dengan selamat dan memberikan kepada pelanggan tepat pada masanya.


Selain itu, tambah beliau, ia adalah untuk menyumbang kepada pembangunan negara dengan menjadikan rakyat yang serba boleh, bermotivasi, inspirasi dan tenaga kerja yang mantap dan juga untuk memajukan dan mengekalkan perniagaan sejajar dengan aspirasi negara.
Dalam pada itu, beliau turut menggariskan sumbangan yang penting kepada pembangunan negara dalam tempoh 50 tahun dan komitmen yang berterusan dalam menjadi peneraju dalam membekalkan LNG.
“Sehingga kini, Brunei LNG telah menghantar lebih 7,000 kargo kepada para pelanggan, kebanyakannya di rantau Asia dan berbangga kerana ia tidak pernah terlepas satu pun penghantaran kargo sejak bermula operasi,” tambah beliau.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian sijil kepada pelukis-pelukis tempatan yang terlibat dalam membuat cut-out jubli emas syarikat yang disampaikan oleh Patrice Girard.