Brunei LNG sumbang 586 komputer riba

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Kementerian Pendidikan telah menerima sumbangan sebanyak 586 buah komputer riba daripada Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd yang disampaikan, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengurus Sumber Manusia dan Hubungan Luar Syarikat Brunei LNG, Dayang Mizan Adiliah binti Haji Mohd Deli kepada Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Awang Mohammad Norilham bin Haji Jais selaku wakil Kementerian Pendidikan.

Turut hadir semasa acara penyerahan sumbangan itu ialah Ketua Hubungan Luar Syarikat Brunei LNG, Malai Ayla Surya binti Malai Haji Abdullah.

Sumbangan komputer riba tersebut adalah melalui Kempen Sumbangan Peranti yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Info-komunikasi serta Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI).

Kempen bertujuan untuk membantu pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian khusus bagi pelajar-pelajar yang memerlukan.

Dayang Mizan Adiliah menyampaikan sumbangan komputer riba daripada Syarikat Brunei LNG kepada Awang Mohammad Norilham. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan