Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Brunei, Malaysia bersama memperkasa Bahasa Melayu

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Diplomasi budaya adalah elemen penting yang diberikan penekanan dalam Kerangka Dasar Luar Malaysia yang telah dilancarkan pada 7 Disember 2021, yang antara lain menyasarkan perkongsian keunikan budaya Malaysia dengan negara-negara sahabat di samping mempromosi Bahasa Melayu di persada antarabangsa.

    “Dalam menjayakan pelaksanaannya, pejabat-pejabat perwakilan Malaysia di luar negara telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian bagi mempromosikan bahasa dan kebudayaan Melayu serta warisan unik Malaysia.”

    Oleh itu, sebagai dua buah negara serumpun, Suruhanjaya Tinggi Malaysia melihat potensi besar untuk Brunei dan Malaysia bekerjasama dalam menggalakkan perkongsian kebudayaan di samping memartabatkan Bahasa Melayu ke tahap yang lebih tinggi.

    Perkara itu ditekankan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah dalam kata alu-aluannya pada Majlis Penyerahan Buku-buku Sumbangan daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia sempena Hari Puisi Sedunia yang berlangsung di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menerima buku sumbangan berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

    Dr Siti Norkhalbi bersama TYT Dato’ Raja Reza menyaksikan pameran di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka, Bandar Seri Begawan.
    Buku-buku yang terdapat di Sudut Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Perpustakaan DBP.

    TYT Dato’ Raja Reza berharap sumbangan buku-buku itu dapat menambah koleksi sedia ada bahan-bahan bacaan Bahasa Melayu di Perpustakaan DBP di samping memberi manfaat kepada pengunjung perpustakaan itu.

    Selain daripada itu, sumbangan buku-buku itu adalah simbol kebersamaan Malaysia untuk berganding bahu de-ngan kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam memartabatkan dan memperkasakan Bahasa Melayu.

    TYT Dato’ Raja Reza turut menyatakan bahawa Suruhanjaya Tinggi Malaysia juga berbesar hati diberikan peluang mempamerkan kebudayaan dan kesenian termasuk makanan tradisional Malaysia.

    Beliau berharap pameran itu dapat memberi pemahaman dan gambaran mengenai keunikan budaya dan seni Malaysia kepada para pengunjung ke perpustakaan berkenaan.

    Majlis kemudian menyaksikan TYT Dato’ Raja Reza menyerahkan sumbangan buku kepada Dr Siti Norkhalbi di mana sumbangan itu adalah sebagai usaha untuk memperkasakan budaya membaca dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia menyumbangkan sebanyak 133 naskhah bahan bacaan yang terdiri daripada 31 judul terbitan Malaysia kepada Perpustakaan DBP.

    Sumbangan itu bukan sahaja menambah koleksi atau pilihan buku, ia juga dapat memberi maklumat atau pendedahan kepada orang ramai mengenai perkembangan, budaya dan pengetahuan umum Malaysia.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...